Paling Popular
Terkini

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali menegur Anggota Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen, supaya bersikap terbuka walaupun pejabatnya diaudit oleh pihak berkuasa negeri.

Kata Azmin semua anggoat parlimen tertakluk kepada peraturan yang ada dan perlu memahami serta menghormati proses yang dijalankan.

“Saya berharap anggota parlimen kena memahami proses ini, kena hormati proses keseluruhannya untuk memastikan ketelusan," katanya kepada media selepas menghadiri majlis Jalinan Kasih Aidilfitri PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

Azmin juga berkata anggota parlimen terbabit juga sepatutnya bercakap dengan kerajaan negeri untuk menyatakan pandangan dan bukannya membuat kenyataan terbuka.

Semalam Wong mendedahkan laporan audit pejabatnya bersama-sama dokumen sokongan kepada umum selepas perbelanjaan komuniti kawasannya dibekukan oleh kerajaan Selangor.

Azmin pun pernah diaudit

Kata Wong, pihaknya menulis surat kepada kerajaan negeri untuk mendedahkan laporan itu sekali lagi sekiranya tidak mendapat jawapan berkenaan pembekuan akaun tersebut menjelang 30 Jun yang lalu.

Wong kemudian memuat naik beberapa siri catatan mengenai isu itu termasuk senarai soalan-soalan lazim (FAQ), garis masa audit, pembekuan perbelanjaan komuniti serta pautan kepada imbasan salinan laporan audit dan surat antara pejabatnya dengan kerajaan negeri.

Anggota PKR itu turut menulis di Facebook pada 23 Mei lalu bahawa audit ke atas pejabatnya oleh Perbendaharaan Selangor dilakukan secara tidak wajar kerana beliau tidak dihubungi sepanjang proses berkenaan.

Azmin berkata kerajaan negeri tidak mengganggu proses audit berkenaan dan pada masa sama semua pihak harus menghormatinya.

“Saya telah jelaskan bahawa saya dan kerajaan negeri tak ganggu proses audit. Kita sentiasa berpegang kepada prinsip ketelusan, keterbukaan.

“Jika jabatan audit hendak mengaudit sesiapa pun, proses itu harus dipatuhi tanpa gangguan eksekutif dan unsur politik," katanya.

Timbalan presiden PKR itu turut mengakui beliau juga pernah diaudit sebelum ini namun tidak menjadikan ia suatu isu.

“Saya sendiri pun pernah kena audit. Tapi saya tak jadikan itu sebagai isu kerana sepatutnya mana-mana pihak sama ada anggota parlimen atau anggota dan anggota dewan undangan negeri menerima proses yang baik ini untuk menjamin ketelusan,” katanya.

Lihat Komen
ADS