Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Walaupun bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim percaya lanjutan khidmat Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif tidak berperlembagaan, beliau berkata perkara itu mungkin masih boleh berlaku.

Katanya, sekiranya tempoh lanjutan itu "sesuai" bagi sesetengah pihak, mereka akan mencari justifikasi bagi membolehkannya.

"Jadi saya tidak akan terkejut sekiranya mereka akan berbuat demikian," kata Zaid ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Bekas ketua hakim Tun Abdul Hamid Mohamad hari ini menegaskan lanjutan tempoh Md Raus yang melebihi umur 66 tahun dan enam bulan tidak mengikut perlembagaan.

Zaid berkata beliau bersetuju dengan pendapat itu kerana perlembagaan tidak menyediakan sebarang pilihan atau keadaan di mana tempoh ketua hakim negara boleh dilanjutkan lagi.

"Ia agak jelas, (pada) bacaan saya (dari segi undang-undang). Saya setuju dengan bekas ketua hakim,"katanya.

Beliau juga memberi amaran bahawa sekiranya tempoh itu dilanjutkan, ia akan menambah persepsi negatif orang awam terhadap kebebasan badan kehakiman.

"Selalu menjadi kebimbangan, bagaimana bebasnya badan kehakiman kita. Dengan melakukan ini, ia akan menambahkan lagi keraguan terhadap kebebasan badan kehakiman," katanya.

Menurutnya, terdapat hakim lain yang lebih layak untuk dilantik sebagai ketua hakim dan lanjutan khidmat Md Raus akan memperlihatkan seperti hakim lain kurang dipercayai.

Md Raus mencecah umur 66 tahun pada 4 Februari lalu dan sudah berkhidmat selama lima bulan selepas tarikh itu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS