Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lebih separuh pemandu Uber, Grabcar kata tak 'semewah' dahulu

Kajian mendapati 51 peratus daripada pemandu sistem pengangkutan awam kereta alternatif seperti Uber dan GrabCar kurang menjana pendapatan berbanding setahun yang lalu.

Kajian oleh DAP turut menyimpulkan bahawa empat puluh peratus daripada responden tidak pasti sama ada wujud perbezaan manakala hanya tiga peratus sahaja yang percaya mereka menjana lebih 'mewah' pada tahun ini.

Seramai 297 responden mengambil bahagian dalam kajian tersebut dengan mengisi borang soal selidik dalam talian.

Penyelidik DAP, Ong Kiang Ming berkata, hasil kaji selidik tersebut menunjukkan para pemandu Uber dan Grabcar mungkin tidak 'semewah' seperti yang disangka ramai.

Aduan yang paling ketara oleh para responden, kata Ong yang juga ahli Parlimen Serdang, adalah mengenai kadar komisen yang dikenakan oleh kedua-dua syarikat.

"Tiga perempat pemandu dalam kajian merasakan kadar komisen antara 20 hingga 25 peratus oleh Grabcar dan Uber tidak adil manakala lebih 60 peratus pemandu mahu kerajaan mengawal jumlah komisen yang dikenakan oleh firma itu," katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Penemuan lain dari kaji selidik tersebut, secara ringkas, ialah:

  • 40 peratus pemandu bekerja sepenuh masa;
  • 53 peratus bekerja separuh masa sebagai pekerjaan kedua;
  • 64 peratus pemandu memiliki sekurang-kurangnya diploma;
  • 34 peratus pemandu berada di luar Lembah Klang; dan
  • Purata gaji bulanan adalah kira-kira RM3,200 (purata pendapatan 2016 mengikut Jabatan Statistik adalah RM2,463).

Ong dan seorang lagi pemimpin DAP, Liew Chin Tong berkata, usaha Putrajaya untuk mengawal selia industri sistem pengangkutan awam kereta alternatif dengan meminda Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 adalah langkah yang betul.

Namun, Putrajaya digesa memastikan terdapat perbincangan dengan pemandu untuk meningkatkan kesedaran mengenai pindaan undang-undang.

[Baca berita lanjut]

Lihat Komen
ADS