Jalan susur dari Lebuhraya Sprint ke Jalan Maarof dan Jalan Maarof (menghala ke Bangsar) akan ditutup selama dua hari mulai jam 12.01 tengah malam pada 8 Julai (Sabtu) sehingga 6 pagi 10 Julai 10 (Isnin).

MMC Gamuda Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata penutupan sepenuhnya ialah disebabkan kerja-kerja pemasangan platform tetap untuk Stesen MRT Pusat Bandar Damansara.

“Semasa penutupan, pengguna jalan raya dari Kuala Lumpur (KL) menghala ke  Jalan Maarof (menuju Bangsar) akan dilencongkan ke Jalan Johar dan kemudian belok kiri di bawah jejembat Lebuhraya SPRINT.

“Pada ketika ini, pengguna dari KL dan Petaling Jaya (PJ) akan dilencongkan ke arah lorong bertentangan menggunakan kaedah aliran kontra. Satu lorong akan disediakan untuk pengguna jalan raya dari Bangsar menghala ke PJ dan KL,” kata kenyataan itu.

Semasa penutupan, pasukan trafik akan ditugaskan untuk mengawal lalulintas di kawasan  itu, menurut kenyataan.

Sementara itu, MMC gamuda juga mengumumkan penutupan berterusan lorong di sepanjang Jalan Kepong (menghala Sungai Buloh dan menghala Jinjang) sepanjang 600 meter dari 8 Julai hingga 27 Ogos, bermula 11 malam hingga 6 pagi.

“Semasa penutupan, pada satu-satu masa, satu lorong akan disediakan bagi pengguna di kedua-dua arah.

- Bernama