Syarikat dagangan karbon ancam saman
Syarikat Climate Protectors Sdn Bhd memberi amaran akan mengemukakan saman terhadap Datuk Husam Musa ekoran kenyataan yang dibuat Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu kepada mereka.
Ketua pegawai eksekutifnya Tang Too Siah berkata beliau sedang mendapatkan nasihat perundangan berhubung isu berkenaan.
"Climate Protectors dan saya kini mendapatkan nasihat daripada peguam kami berhubung hak perundangan ekoran kenyataan diterbitkan semasa sidang media, selain semua penerbitan mengenainya di akhbar dan/atau media sosial.
"Kami mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang bertanggungjawab menerbitkan dan/atau mengedarkan kenyataan itu," katanya hari ini.
Husam pada 3 Julai lalu membangkitkan kebimbangan terhadap hubungan serta rancangan kerajaan Kelantan dengan firma dagangan karbon itu.
Ia kerana syarikat terbabit diletakkan dalam senarai Amaran Kewangan Pengguna Bank Negara kerana didakwa mengambil deposit tanpa kebenaran.
Menteri Besar Kelantan Datu Ahmad Yakob pula semalam menafikan kerajaan negeri terlibat dalam aktiviti pengambilan deposit.
Beliau kemudian menggesa sesiapa yang pernah memberikan wang kepada syarikat terbabit supaya membuat laporan polis.

