Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Aziz Kaprawi patut desak PM tutup kedutaan AS, kata DAP
Diterbitkan:  Jul 7, 2017 12:17 PM
Dikemaskini: 4:20 AM

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Ab Aziz Kaprawi sepatutnya mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar menghentikan operasi kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia, kata Ahli Parlimen DAP Lim Lip Eng.

"Sekiranya AS begitu jahat, Aziz sepatutnya mendesak presiden partinya yang juga perdana menteri hentikan operasi kedutaan AS di Malaysia dalam rangka menghentikan usaha-usaha jahat negara itu bagi menghancurkan keharmonian dan kestabilan negara," katanya dalam kenyataan.

Pada masa yang sama, kata Lim, empat pegawai bank disabitkan bersalah dan dipenjara di Singapura kerana terlibat dalam skandal 1MDB manakala sekurang-kurangnya empat negara iaitu Singapura, Switzerland, Luxembourg dan AS sedang menyiasat jenayah pengubahan wang haram yang membabitkan 1MDB.

"Apakah Aziz juga katakan empat negara itu benar-benar bodoh kerana menghabiskan begitu banyak masa, wang dan tenaga menyiasat maklumat palsu 1MDB," jelasnya.

Lim berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Aziz semalam yang mendakwa Jabatan Keadilan (DOJ) AS tidak mendapat maklumat yang tepat apabila memfailkan saman sivil untuk merampas aset yang didakwa dibeli menggunakan wang 1MDB.

Menurut Aziz, saman sivil itu juga mempunyai kejanggalan ketara apabila pihak 1MDB mahupun presidennya, Arul Kanda Kandasamy tidak dipanggil untuk memberi sebarang kenyataan.

"Tindakan DOJ ingin memfailkan saman sivil ini adalah memalukan kerana bertindak melalui maklumat yang tidak tepat dan tidak sah.

"Saya ingin mempersoalkan di manakah letaknya integriti dan 'good governance' serta apakah pula SOP siasatan yang digunakan oleh DOJ melalui akta kleptokrasinya ini sehinggakan ada yang mengatakan akta ini menjadi lesen untuk merampas harta milik negara atau individu lain," kata Aziz lagi.

Mengulas lanjut, Lim berkata, Aziz juga berkata sejarah membuktikan hampir semua campur tangan AS telah memusnahkan keharmonian dan menjejaskan kestabilan negara terlibat.

"Namun hakikatnya, Aziz mungkin tersilap percaya tentang maklumat palsu mengenai AS kerana rakan politik beliau yang juga pengarah komunikasi strategik BN kelihatan gembira meraikan ulangtahun kemerdekaan ke-241 AS," ujarnya.

Lim mempersoalkan mengapa Aziz tidak turut serta dalam majlis itu dan menyatakan tuduhan beliau terhadap DOJ dan kerajaan AS.

Lihat Komen
ADS