Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azalina: Dr M hina perundangan, demokrasi M'sia
Diterbitkan:  Jul 7, 2017 3:14 PM
Dikemaskini: 8:31 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tuduhan terbaru oleh Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan suatu penghinaan kepada sistem perundangan dan amalan demokrasi di negara ini.

​"Tuduhan oleh Mahathir bahawa terdapat campur tangan dalam keputusan kes liwat Anwar itu secara lansung mempersoalkan kebebasan dan intergriti Badan Kehakiman.

"Anwar telah melalui semua proses yang dibenarkan di bawah undang-undang untuk mempertahankan diri termasuk mengemukakan rayuan kepada lembaga pengampunan.

"Justeru, tidak timbul persoalan Anwar merupakan mangsa dendam politik seperti yang didakwa," kata beliau yang juga ahli majlis tertinggi Umno dalam kenyataan.

Semalam, sambil menyatakan sokongan kepada Anwar untuk diangkat menjadi perdana menteri, Mahathir mendakwa bekan timbalannya itu tidak dilayan dengan adil serta keputusan mahkamah dalam kes Anwar jelas dipengaruhi kerajaan.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, dakwaan oleh Mahathir yang kini menerajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia bahawa Anwar adalah mangsa dendam politik hanya memakan diri sendiri.

"Adakah Mahathir lupa yang penyingkiran Anwar daripada pentadbiran kerajaan adalah ketika zaman pemerintahan beliau pada tahun 1998.

"Hari ini, Anwar menjalani hukuman atas sebab kes peribadi beliau di bawah kesalahan jenayah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

"​Tindakan Mahathir yang kerap kali membuat pusingan U juga menunjukkan sikap sebenar pembangkang yang sanggup menggadai prinsip hanya kerana mahu memenuhi kepentingan peribadi," tambah Azalina.

Lihat Komen
ADS