Beberapa orang pakar menawarkan alternatif kepada cadangan terbaru Pemuda Pakatan Harapan agar bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilakukan sebaik sahaja peminjam memperoleh pendapatan RM4,000 dan ke atas.

Menurut timbalan ketua eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis) Steven Wong, bayaran balik harus bermula apabila peminjam telah mendapat pekerjaan berbayar.

Katanya, adalah penting seseorang peminjam tidak lari daripada membayar hutang walaupun bayaran awal mungkin tidak tinggi.

Pengarah Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) Ramon Navaratnam pula mengkritik cadangan Pemuda Harapan yang dikatakan menggalakkan peminjam menjadi "tidak acuh kepada tanggungjawab mereka".

"Seseorang peminjam mesti bayar pinjaman mereka, tetapi hanya selepas gaji pertama anda bermula. Sebaiknya selepas tiga bulan bekerja,"katanya.

Voon Zhen Yi dari Pusat Pengajian Dasar Awam (CPPS) pula mencadangkan jumlah bayaran balik disesuaikan untuk peminjam individu.

"Ia harus berdasarkan kes-kes individu kerana kos hidup dan keadaan berbeza dari segi tempat dan individu. Banyak pertimbangan perlu diberikan untuk membolehkan penghutang menangguhkan bayaran balik PTPTN untuk membolehkan mereka menyalurkan sumber kewangan kepada keperluan yang lebih mendesak," katanya.

Penganalisis politik Institut Pulau Pinang, Ooi Kok Hin pula berkata hanya beberapa kerat rakyat Malaysia mendapat gaji bulanan sebanyak RM4,000 dan ke atas.

"Berapa ramai yang boleh mendapat RM4,000? Bagaimana pula di luar Lembah Klang? Berapa tahun yang diperlukan (untuk bayaran balik)?"soal beliau.

Jabatan Perangkaan melaporkan bahawa gaji median rakyat Malaysia pada tahun 2016 adalah RM1,703 manakala gaji purata sebanyak RM2,463.

Ooi turut mempersoalkan sekiranya cadangan itu memberi isyarat HARAPAN melakukan U-turn dalam dasar pendidikannya.

"(Naib Presiden PKR) Rafizi Ramli (sebelum ini) mencadangkan untuk menghapuskan PTPTN dan mengetepikan yuran untuk universiti awam yang dipertahankan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim). Adakah Pakatan Harapan meneruskan manifestonya atau membuangnya?" soal beliau.

Pada 2012, Anwar yang juga ketua pembangkang waktu itu menyatakan bahawa Pakatan Rakyat berhasrat mengecualikan pinjaman PTPTN.

[Baca berita penuh]