Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN mesti kerja keras, bijak untuk selamat
Diterbitkan:  Jul 7, 2017 5:18 PM
Dikemaskini: 9:28 AM

BN mesti bekerja keras dan bijak untuk bertahan daripada "serangan ketiga" pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata timbalan perdana menteri.

Menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berdasarkan pengalaman parti itu pada PRU ke-12 dan ke-13 lalu, Umno akan berdepan dengan satu lagi gelombang masalah menjelang PRU ke-14.

"Kita kena kerja kuat dan bijak untuk memastikan pada PRU ke-14 apabila kita akan diuji untuk kali ketiga, kita akan dihakimi sama ada boleh berjaya atau kita akan dikalahkan," katanya.

Ahmad Zahid yang juga naib presiden Umno yang kini melaksanakan tugas timbalan presiden parti itu berucap di Batu Pahat, Johor.

Beliau menghadiri mesyuarat agung tahunan Umno bahagian berkenaan pagi tadi.

Ahmad Zahid kemudian mengingatkan pihak musuh Umno sedang menggunakan pelbagai isu seperti saman Jabatan Kehakiman AS sebagai 'peluru' untuk menyerang parti berkenaan.

Katanya, masalah itu bukan datang dari dalam Umno.

"Masalah datang dari luar. Tembakan dilepas menggunakan isu-isu seperti saman DOJ sebagai peluru.

"Ini kerana ada pihak musuh di luar sana cuba memberikan peluru kepada pihak negara luar sehingga berlaku hilang keyakinan kepada institusi kepimpinan parti," katanya.

Belia yang juga anggota parlimen Bagan Datuk berkata, serangan seumpama itu setiap kali berlaku menjelang pilihan raya atau setiap lima tahun.

Ahmad Zahid mengakui BN nyaris tumbang pada PRU ke-12 dan ke-13. Justeru katanya semua anggota parti perlu bersatu untuk mendapatkan semula penguasaan dua pertiga di Dewan Rakyat.

"Kita hampir tumbang kerana ketika itu kita tepis peluru yang disasarkan tetapi kita masih tidak cukup kuat seperti serangan musuh politik kita.

"Dan mengikut konteks itu, kita kini diuji sekali lagi dalam PRU ke-14. Dua kali sebelum ini kita berjaya tetapi Allah SWT takdirkan kita hilang majoriti dua pertiga," katanya.

Keputusan PRU ke-12 yang diadakan pada 2008 pembangkang memenangi 82 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat dan menafikan penguasaan majoriti mutlak BN untuk kali pertama dalam sejarah.

PKR, DAP dan PAS kemudian membentuk Pakatan Rakyat bagi menghadapi BN. Kira-kira lima tahun kemudian gabungan itu memenangi 89 kerusi - atau 50.87 peratus undi popular berbanding BN.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS