Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPR teruskan siasatan persempadanan semula Semenanjung kecuali S'gor, Melaka
Diterbitkan:  Jul 7, 2017 6:53 PM
Dikemaskini: 5:33 PM

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meneruskan usahanya menyelesaikan urusan siasatan tempatan kali kedua persempadanan semula kawasan pilihan raya di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di semua negeri di Semanjung kecuali Selangor dan Melaka dalam tempoh masa yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu lepas yang tidak membenarkan permohonan kerajaan Selangor untuk menghalang SPR daripada meneruskan proses siasatan tempatan kali kedua.

“Ini bermakna SPR boleh meneruskan tanggungjawabnya dalam menyelesaikan urusan itu dalam tempoh masa yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada Rabu lepas, mahkamah sama telah mengeluarkan dua keputusan berhubung permohonan Kerajaan Selangor untuk menghalang SPR menjalankan siasatan kedua ke atas persempadanan semula di Semenanjung, serta menghalang SPR menyerahkan laporan persempadanan semula kepada perdana menteri, di bawah Perlembagaan Persekutuan, untuk membentangkan keputusan itu di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kelulusan.

Mohd Hashim menegaskan SPR menghormati kedua-dua keputusan mahkamah dan memang sedia maklum bahawa laporan akhir hanya boleh diserahkan kepada Perdana Menteri selepas proses siasatan tempatan di Melaka dan Selangor diselesaikan dan kes semakan kehakiman dimuktamadkan oleh mahkamah.

“Tidak timbul persoalan bahawa SPR akan menyerahkan laporan akhir kepada Perdana Menteri tanpa memasukkan Selangor atau mana-mana negeri atau tidak mematuhi keputusan mahkamah itu. Jika tiada keputusan daripada mahkamah sekali pun, SPR tidak akan menyerahkan laporan akhir kepada perdana menteri kerana proses siasatan tempatan belum diselesaikan sepenuhnya di dua negeri iaitu Melaka dan Selangor," katanya.

Pada Disember lepas, SPR menangguhkan prosiding siasatan tempatan terhadap cadangan persempadanan semula  di Selangor selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Kerajaan Selangor untuk meneruskan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan DUN di Selangor oleh SPR.

Dalam pada itu, Mohd Hashim berkata SPR sentiasa komited dalam usahanya membawa kebaikan kepada amalan demokrasi di negara ini dan bagi menyediakan kemudahan untuk kepentingan rakyat.

"SPR menegaskan andaian pihak tertentu bahawa dengan keputusan itu, mereka berjaya menghalang SPR menjalankan tanggungjawabnya seperti mana yang digembar-gemburkan kononnya akan memberi manfaat kepada rakyat adalah tidak tepat kerana keputusan itu hanya terhad kepada proses penyerahan laporan sahaja dan bukannya membabitkan proses persempadanan yang lain,” katanya.

Menurutnya SPR juga sentiasa menjalankan tanggungjawabnya dengan mematuhi semua peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan dalam menjalankan fungsi dan peranannya itu.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS