Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selamat cuma cuit-cuit Rohaya
Diterbitkan:  Jul 7, 2017 7:28 PM
Dikemaskini: 11:45 AM

GLOBAL | Apakah bukti sayang Selamat Riyadi Husni kepada Bibik sebelum wanita berusia emas itu menjadi isterinya?

Kata remaja terbabit, pernikahan mereka pada awal minggu ini adalah penegasan jelas perasaan hatinya terhadap Rohaya Kiagus Muhammad Jakfar.

Untuk rekod, Selamat baru berusia 16 tahun manakala isterinya 71 tahun.

Pasangan itu dinikahkan pada 2 Julai lalu di kampung mereka di Ogan Komering Ulu (OKU) Sumatera Selatan.

Selamat mengenali Rohaya sejak beberapa lama dulu dan memanggilnya dengan nama Bibik.

Hubungan itu kemudian bertukar menjadi semakin mesra dan cinta pun khabarnya berputik.

Walau mendapat tentangan keluarga, Selamat berkeras mahu menikahi Rohaya. Malah media tempatan melaporkan pasangan itu mengugut untuk membunuh diri jika hajat mereka dihalang.

Bagaimanapun jodoh mereka tidak panjang.

Semalam Kompas melaporkan Jabatan Agama Wilayah Sumatera Selatan membatalkan pernikahan itu kerana tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Pulih selepas seminggu

Pegawai agama daerah OKU turut ditegur oleh jabatan terbabit.

Kes itu turut mendapat perhatian Menteri Sosial Indonesia, Khofifah Indar Parawansa.

Katanya apa yang berlaku itu tidak sepatutnya terjadi.

"Kementerian sudah menjalankan siasatan dan mendapati pernikahan itu berlangsung bukan secara sah dan tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa agama," katanya.

Dalam temu bual dengan Sriwijaya Post, Selamat berkata, cintanya kepada Rohaya berputik sejak tiga tahun lalu - bermakna ketika itu remaja terbabit baru berusia 13 tahun.

Ditanya sama ada cintanya kepada Rohaya adalah tulen, Selamat menjawab: "Kan kalau belum nikah, tandanya belum sayang. Kalau sudah nikah ertinya betul-betul sayang."

Sementara itu Rohaya pula menceritakan malam pertama mereka berlalu tanpa sebarang kejadian yang menarik.

"Dia ni dari malam tadi asyik mencuit-cuit saya saja," katanya.

Sementara itu ketua penduduk setempat, Endah Amzal, berkata suatu ketika dulu Selamat demam malaria dan tiada sesiapa yang menguruskannya.

"Akhirnya nenek ini yang menguruskan Selamat. Seminggu kemudian dia pulih seperti biasa," katanya.

Semakan pegawai kerajaan setempat mendapati pasangan Selamat - Rohaya dinikahkan di Kampung Karang Endah.

Seorang lelaki dikenali sebagai Ibnu Hajar menjadi wali wanita dan menikahkan pasangan terbabit di depan dua saksi yang dikenali sebagai Komarudin dan Charles.

Klip video yang tular di media sosial pula menunjukkan pernikahan Selamat - Rohaya disambut dengan sorakan orang ramai sebaik saja jurunikah mengesahkannya.

Lihat Komen
ADS