Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak berkuatkuasa 10 Julai
Diterbitkan:  Jul 8, 2017 7:09 AM
Dikemaskini: 11:25 PM

Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 akan mula berkuat kuasa pada 10 Julai ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menurut catatan dalam laman Facebooknya, Azalina berkata beliau telah menandatangani Dokumen Penetapan Tarikh Permulaan Kuat Kuasa Akta itu di pejabatnya di Parlimen petang semalam.

Dengan meletakkan hash tag #HentikanMY, #NegaraKuMalaysia dan #WalkTheTalk, beliau turut memuat naik gambarnya sedang menandatangani dokumen akta berkenaan di laman sosial itu.

Akta yang diluluskan pada April lepas itu bertujuan melindungi kanak-kanak 18 tahun ke bawah daripada jenayah seksual yang selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001.

Individu yang didapati bersalah melakukan perbuatan seksual terhadap kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan boleh dihukum sebat.

Di bawah akta itu juga, individu-individu yang didapati membuat, memiliki dan mengedarkan pornografi kanak-kanak, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 30 tahun dan enam kali rotan, serta didenda sehingga RM5,000 jika didapati memegang maklumat mengenai kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

- Bernama

Lihat Komen
ADS