Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Pemimpin dan veteran DAP saban hari keluar parti akibat kecewa dan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan mereka.

Baru-baru ini lebih 700 ahli DAP membuat aduan kepada Pendaftar Persatuan (ROS) kerana mendakwa hak mereka sebagai ahli dan menyertai mesyuarat perwakilan bagi memilih anggota jawatankuasa tertinggi parti dinafikan.

Malah kepimpinan DAP didakwa memanipulasi proses pengiraan kertas undi bagi menjamin kemenangan pihak tertentu.

Walaupun DAP mengadakan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) kedua, sebahagian besar ahli DAP - hampir 865 cawangan di seluruh negara - tidak menerima keputusan tersebut.

Lebih-lebih lagi menurut laporan media, pihak ROS pun masih belum dimaklumkan mengenai keputusan pemilihan kedua.

Baru-baru ini satu memorandum disediakan para ahli akademik dari lebih 21 universiti tempatan mendesak RSO memberi surat tunjuk sebab kepada DAP untuk mendapatkan penjelasan mengapa pendaftaran parti itu tidak boleh dibatalkan apabila didakwa berlaku pertentangan dengan syarat 2A (1) Akta Pertubuhan.

Kepimpinan DAP didapati melarang ahli parti mengamalkan tanggungjawab dan hak mereka sebagai anggota. Kepimpinan parti juga didakwa membelakangkan idealisme dan nilai-nilai demokrasi dalam parti sebaliknya lebih menerapkan dasar kuku besi (hegomani) bagi menjamin dinasti Lim terus menguasai DAP.

Naik dan turun

Mereka turut mendakwa kepimpinan DAP tidak peduli tentang rasa tidak puas hati sebahagian besar ahli yang masih mempertikaikan kesahihan lantikan CEC. Jadi, mereka mendakwa istilah demokrasi hanya tinggal sebagai hiasan atas nama parti sahaja.

Dengan episod ahli DAP semakin hari semakin ramai keluar parti, timbul pelbagai persoalan dalam kalangan aktivis politik, termasuk apakah pelantikan ahli CEC - termasuk Lim Guan Eng sebagai setiausaha agung - sah di sisi undang-undang parti dan ROS.

Apakah DAP mampu mempertahankan jumlah kerusi parlimen yang ditawan dalam pilihan pilihan raya umum (PRU) ke-13 malah berpotensi menubuhkan kerajaan persekutuan selepas PRU ke-14 seperti diheboh-hebohkan dalam media sosial?

Rekod keputusan PRU menunjukkan DAP hanya menang sembilan daripada 104 kerusi pada kali pertama bertanding pada 1964.

Namun, jumlah kerusi yang dimenangi DAP naik dan turun pada setiap kali PRU diadakan.

DAP memenangi 28 kerusi pada PRU ke-12 dan 38 kerusi pada PRU ke-13. Kerusi DAP di parlimen meningkat secara mendadak - dua kali ganda - disebabkan kerjasama politik dengan Pakatan Rakyat yang disertai PAS.

Ini jelas menunjukkan sokongan ahli PAS kepada DAP adalah faktor utama menyumbang kepada peningkatan jumlah kerusi DAP di Parlimen.

Jadi, dengan terputusnya kerjasama politik (tahaluf siyasi) DAP dengan PAS, maka DAP dijangka akan kehilangan undi ahli parti PAS yang menjadi punca kepada kemenangan besar DAP.

Dilanda malapetaka

Memandangkan DAP masih menentang keras usaha PAS untuk memartabatkan syiar Islam dan mahkamah syariah, maka DAP dijangka akan hilang sokongan sebahagian besar pengundi Melayu yang sealiran dengan perjuangan PAS.

DAP juga dijangka akan hilang sokongan sebahagian besar penyokong setia Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mereka kurang puas hati dengan keputusan DAP menyertai Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebahagian besar pengundi Melayu dan India di Pulau Pinang dijangka akan menolak DAP pada PRU ke-14 kerana mereka tidak puas hati terhadap pentadbiran kerajaan negeri diterajui Lim yang didakwa gagal mengurus permasalahan sosio-ekonomi terutamanya bumiputera.

Kehilangan sokongan pengundi Melayu dan India terhadap DAP mendorong penganalisis politik membayangkan bahawa DAP akan hilang kerusi majoriti di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada PRU ke-14.

Memandangkan dakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Lim melibatkan rasuah dan salah guna kuasa masih menghantui pemikiran penyokong DAP, parti itu cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada kekalutan yang dilanda kepada saman Jabatan Kehakiman AS yang mengaitkan 1MDB.

DAP bimbang sekiranya perhatian rakyat terus fokus kepada kelemahan DAP, maka DAP akan hilang sokongan rakyat malah dijangka akan dilanda malapetaka dalam PRU ke-14.


M PERIASAMY ialah felo Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS