Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS bincang 1MDB di meja bulat
Diterbitkan:  Jul 8, 2017 5:55 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

PAS bercadang untuk mengadakan sidang meja bulat khas untuk membincangkan skandal 1MDB ketika parti pembangkang lain giat melancarkan serangan ke atas kerajaan.

Menjelaskan langkah itu Datuk Datuk Tuan Ibrahim Man berkata, PAS itu mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak - termasuk bekas pegawai kanan syarikat pelaburan milik negara itu - untuk mengetahui keadaan sebenar.

Timbalan Presiden PAS yang sedang menjalankan tugas presiden itu berkata antara tokoh yang akan dilibatkan ialah bekas pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Tokoh lain ialah pemimpin veteran DAP yang juga Anggota Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw, bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan pakar ekonomi Dr Jomo Kwame Sundram.

Isu skandal 1MDB yang dikaitkan secara langsung dengan Datuk Seri Najib Razak menjadi antara 'peluru' utama hampir semua parti pembangkang ketika negara ini semakin menghampiri pilihan raya umum ke-14.

Bagaimanapun ketika Pakatan Harapan mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Bertindak 1MDB dan merancang untuk mengadakan himpunan besar-besaran, PAS pula menegaskan mereka mempunyai cara tersendiri bagi Menurutnya, PAS mempunyai polisi dan pendekatan tersendiri dalam merealisasikan strategi dan roadmap perjuangannya.

Itu jalan keluar

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata PAS mahu sebuah suruhanjaya diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dana 1MDB.

“(PAS) tidak terikat dengan mana-mana pihak, demikian juga tidak terkesima dengan gerak tari pihak yang mempunyai agenda mereka sendiri.

“PAS kini dalam fasa menumpukan perhatian serius terhadap isu-isu yang secara langsung menyentuh kehidupan rakyat terbanyak seperti isu kenaikan harga barang, pengangguran, kos sara hidup, GST dan sebagainya,” katanya pada 29 Jun lalu.

Tuan Ibrahim berkata penubuhan RCI adalah jalan keluar kepada pesoalan 1MDB ketika ada pihak yang didakwanya lebih mementingkan agensi penyiasatan negara luar.

Untuk rekod, kerajaan baru-baru ini bersetuju menubuhkan sebuah RCI bagi menyiasat kerugian dialami negara dalam aktiviti dagangan mata wang asing (forex).

Satu lagi skandal yang dikaitkan dengan penubuhan RCI ialah bagi menyiasat kerugian dialami Bumiputra Malaysia Finance (BMF).

Kedua-dua skandal itu dikaitkan secara tidak langsung dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad.

BERSATU kini menyertai gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) bersama PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) manakala PAS mengambil haluan sendiri. Sekurang-kurangnya dua daripada parti dalam HARAPAN diisytiharkan oleh PAS sebagai musuh politik mereka.

Tuan Ibrahim dipetik sebagai berkata demikian oleh Harakahdaily di Kerdau, Pahang hari ini.

Lihat Komen
ADS