Sasterawan Negara, A Samad Said yang sebelum ini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) meninggal dunia petang tadi.

Berita itu dikongsikan oleh anak sulungnya, Helmy Samad dalam satu hantaran di media sosial, sebentar tadi.

“6.10 (petang).

“Innalillahi wainnailaihi rojiun.

“Bapa baru meninggal,” katanya ringkas.

A Samad atau nama penuhnya, Abdul Samad Mohamed Said, 91, adalah Sasterawan Negara keempat yang menerima pengiktirafan itu pada 1985.

Sepanjang pembabitan dalam dunia sastera, A Samad menghasilkan pelbagai karya yang memberi kesan besar kepada perkembangan kesusasteraan Melayu moden.

Antara novel, puisi, drama, dan esei yang berpengaruh, karya agungnya termasuk Salina (1961), Sungai Mengalir Lesu (1967), Langit Petang (1980), Daerah Zeni (1985), Hujan Pagi (1987), dan kumpulan puisi Liar di Api.)

Sebelum menumpukan sepenuh masa dalam bidang penulisan kreatif, dia pernah berkhidmat sebagai wartawan dan pengarang di beberapa syarikat akhbar utama seperti Utusan Melayu, Berita Harian, dan The New Straits Times.

Dalam dekad-dekad kebelakangan ini, Pak Samad juga dikenali kerana penglibatan aktifnya dalam gerakan masyarakat sivil. Dia pernah menjadi pengerusi bersama gabungan Bersih 2.0.