Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M pasang jerat untuk Anwar, kata Aziz Kaprawi
Diterbitkan:  Jul 9, 2017 11:04 AM
Dikemaskini: 3:18 AM

Kenyataan terbaru Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri jelas menunjukkan bekas perdana menteri itu sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai kepentingan peribadi.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, Mahathir sendiri pernah mengatakan pada tahun 1998 bahawa Anwar bukan sahaja tidak layak menjadi perdana menteri, bahkan tidak layak menjadi pemimpin atas salah laku moral.

"Malahan, Tun M sekali lagi telah mengingatkan kepada rakyat pada tahun 2013 akan bahaya sekiranya memilih Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan jangan berikan peluang langsung sekiranya tidak mahu melihat negara dimusnahkan.

"Bagi saya ini merupakan satu helah licik untuk mendapatkan sokongan ahli parti pembangkang seperti DAP, PKR dan PAN (AMANAH) untuk menyelamatkan beliau daripada hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) seperti mana yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam blog beliau," katanya.

Menurutnya, akhbar New Straits Times Singapura hari ini turut menerbitkan kenyataan Mahathir bahawa sekiranya pembangkang menang pada pilihan raya akan datang, Anwar tidak boleh terus menjadi perdana menteri kerana masih di penjara.

"Maka, seorang perdana menteri 'Interim' diperlukan sementara menunggu permohonan pembangkang untuk mendapatkan pengampunan diraja untuk Anwar Ibrahim. Persoalannya, siapakah perdana menteri 'Interim' tersebut?

"Sekiranya (Datuk Seri) Mukhriz hendak dijadikan perdana menteri 'Interim', maka jerat Tun Mahathir berjaya. Tidak mungkin apabila Mukhriz telah dijadikan perdana menteri, Tun M akan memberi laluan kepada individu lain, terutamanya musuh politik beliau selama 18 tahun, Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

"Adakah Anwar Ibrahim akan terjerat dengan permainan Mahathir buat kali kedua?"Soalnya.

Lihat Komen
ADS