Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Umno mencabar DAP mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sepertimana yang diarahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, DAP tidak perlu takut untuk mengadakan pemilihan semula sekiranya tiada apa yang hendak disembunyikan.

"Saya cabar mereka (DAP) kalau tak ada benda yang nak disembunyi buatlah apa yang ROS dah diarahkan.

"Yang keduanya sebelum ini DAP kata DAP memperjuangkan demokrasi, kalau ada benda yang tak kena apa yang dia takut sangat untuk membuat keputusan lakukan pemilihan semula," katanya.

Hishamuddin berkata demikian dalam sidang media selepas Merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Cheras di Berjaya Times Square hari ini.

Jumaat lalu Ketua Pengarah ROS Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, pelantikan 20 anggota CEC DAP serta pemegang jawatan utama hasil pemilihan semula yang diadakan pada 29 September 2013 adalah tidak sah dari segi undang-undang.

Pemilihan semula yang diadakan itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Disember 2012 iaitu yang melibatkan 2,576 perwakilan dari 865 buah cawangan.

Ia kerana hanya anggota CEC yang sah dan diiktiraf sahaja boleh melantik pemegang jawatan utama yang sah dan diiktiraf mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP.

Mesyuarat tergempar DAP semalam parti itu enggan mengadakan semula dan bersedia bertemu JPPM untuk membuat perbincangan lanjut.

Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng tidak menolak tindakan ROS bermotifkan politik serta mahu mensabotaj DAP dalam membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Mengulas lanjut, Hishammuddin turut mengingatkan pemimpin DAP agar tidak menyalahkan pihak lain termasuk kerajaan di bawah pentadbiran BN berikutan arahan ROS.

"Jangan halakan pandangan orang lain dan menuding jari pada orang lain, ini masalah dalaman mereka. Jangan nak menuding jari pada Umno dan BN, kita pula tak ada kena mengena dengan dia," katanya.

Lihat Komen
ADS