Paling Popular
Terkini

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali mungkin berdepan saingan sengit pada pilihan raya umum akan datang sekiranya beliau kekal bertanding di Parlimen Gombak. 

Ini kerana, Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara peribadi akan memastikan kemenangan BN di kawasan berkenaan.

Ketika berucap merasmikan mesyuarat agung Umno bahagian Gombak, Zahid turut meminta agar jawatankuasa Umno bahagian bertemu dengannya bagi membincangkan tentang pelan pilihan raya. 

"Dua minggu dari sekarang saya nak jawatankuasa Umno Gombak jumpa dengan saya. Kita susun strategi. Biar 'Abang' yang duduk sebagai nakhoda," katanya di ibu negara hari ini. 

Ketika berucap, Zahid turut menegaskan bahawa ketua dan timbalan Umno Gombak akan dipecat sekiranya mereka bergaduh sesama sendiri serta tidak berjaya merampas kembali kawasan berkenaan.

Malah, timbalan perdana menteri itu turut bergurau untuk memberi dana 'seberapa banyak yang dimahukan' kepada Umno bahagian untuk merampas Gombak.

"Soal ringgit itu saya berguraulah," katanya lagi. 

Azmin telah menjadi anggota parlimen Gombak selama dua penggal sejak 2008. 

Tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Gombak- Batu Caves, Gombak Setia dan Ulu Klang- turut dimiliki PKR dan PAS sejak 2008. 

Pada pilihan raya ke-13, empat kerusi berkenaan bagaimanapun mengalami penurunan majoriti dengan lebihan undi Azmin di Gombak menurun dari 6,867 pada 2008 kepada 4,734 majoriti pada 2013. 

Selain itu, Zahid turut mengingatkan kepada para perwakilan bahawa kerusi Gombak dan tiga DUN di bawah parlimen itu telah bersedia untuk diambil alih. 

Justeru, Zahid meminta agar anggota BN perlu mengetepikan pertikaian dalaman dan bekerja sebagai pembangkang di Selangor berbanding mengambil mudah perkara berkenaan hanya kerana BN berkuasa di peringkat Persekutuan. 

Sehubungan itu, anggota parlimen Bagan Datoh itu berkata, BN di peringkat negeri perlu bijak mengambil peluang dan memanfaatkan kemelut yang dihadapi  pembangkang bagi menawan Selangor kembali.

 

[baca berita asal]

Lihat Komen
ADS