Paling Popular
Terkini

ULASAN l Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerima peruntukan hampir satu bilion ringgit setahun, dan saya tidak tahu sama ada mereka benar-benar mempunyai sebegitu banyak kerja untuk mewajarkan dana sebanyak itu.

Sebagai contoh, Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha, sibuk beberapa hari lalu merayu agar umat Islam tidak memelihara anjing sebagai binatang kesayangan kerana, menurutnya, orang Islam tidak dibenarkan menyentuh anjing "tanpa sebab".

Ini susulan tindakan seorang wanita muda, Nurhanizah Abdul Rahman, yang dilaporkan memelihara seekor anjing yang sesat sebagai haiwan kesayangannya.

Saya tidak tahu sama ada hendak ketawa atau menangis ketika membaca kenyataan seperti itu daripada seorang pemimpin Islam. Bukankah mereka mempunyai kerja untuk memastikan umat Islam lebih bersedia menghadapi cabaran dunia ini?

Nurhanizah patut dipuji dan disokong kerana mempunyai hati yang baik. Beliau jelas seorang yang mengambil berat dan penyayang serta sanggup menyediakan kehidupan yang baik untuk anjingnya, Bubu. Pastinya, beliau mempunyai sebab untuk menyentuh anjing itu.

Seorang Muslim sejati adalah seorang yang baik hati, penyayang dan ambil peduli. Jadi, daripada memarahinya, JAKIM seharusnya berbangga dengan kebaikan dan sifat kemanusiaan yang dipamerkan oleh Nurhanizah.

Tetapi katakan bahawa jika Othman adalah betul bahawa adalah berdosa bagi Nurhanizah menyentuh anjing. Nurhanizah mesti bertanggungjawab ke atas dosa-dosanya, tetapi mesti menguruskannya dengan caranya sendiri. Beliau sahaja yang akan menanggungnya. Manusia mana, termasuk Othman, yang bebas daripada dosa?

Othman sepatutnya risau tentang dosa-dosanya dan bukannya dosa orang lain. Seseorang tidak menjadi malaikat hanya kerana seseorang menjawat jawatan Ketua Pengarah JAKIM atau berkhidmat kepada perdana menteri dengan baik. Bukan urusan Othman meminta pencinta anjing untuk bertaubat. Itu urusan Tuhan.

Bagi saya, masalah pemimpin Islam adalah mereka suka membicarakan tentang dosa orang lain sepanjang masa - dan bukan dosa diri mereka sendiri.

Mereka sibuk dengan dosa orang lain. Mereka bersikap seolah-olah mereka sendiri bebas daripada dosa, jadi setiap hari, mereka memberitahu sesama umat Islam bagaimana untuk menjalani kehidupan yang "bebas daripada dosa" seolah-olah hanya mereka yang tahu berbuat demikian.

Inilah yang menyebabkan masyarakat Islam lemah dan berpecah. Pemimpin Islam sibuk memberitahu orang lain tentang perkara-perkara kecil yang tidak relevan apabila mereka sendiri tidak menyumbang banyak kepada pembangunan masyarakat mereka.

Biarkan Tuhan menguruskan berhubung dosa dan pahala dan urusan hukuman. JAKIM, buat permulaan, seharusnya memberi perhatian untuk memastikan anak-anak di sekolah agama mempunyai kurikulum dan guru yang bersesuaian.

JAKIM juga boleh memastikan bahawa semua wang zakat yang dikumpul digunakan dengan betul dan demi kepentingan masyarakat Islam.

Semua pungutan harus diaudit dengan teliti, dan JAKIM boleh membantu dengan menyelaraskan pentadbiran berkaitan warisan umat Islam, yang kadang-kala mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan kerana karenah birokrasi.

JAKIM juga boleh memastikan bahawa organisasi Baitul Mal di setiap negeri diaudit dengan teliti untuk mencegah "ketirisan".

Terdapat banyak perkara baik boleh dilakukan oleh JAKIM untuk membantu umat Islam selain daripada memberitahu mereka tentang dosa. Kita sudah cukup banyak pendakwah di TV dan di masjid untuk tujuan berkenaan.


DATUK ZAID IBRAHIM adalah bekas senator dan anggota kabinet Malaysia. Artikel ini diterbitkan kali pertama di blog beliau dalam bahasa Inggeris dengan judul JAKIM and dogs.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS