Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis tumpas 'geng Kelvin', 7 termasuk wanita ditahan

Polis Kota Kinabalu menumpaskan 'Geng Kelvin' yang aktif dalam kegiatan pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar daerah ini selepas tertangkapnya tujuh suspek pada 4 Julai lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata dengan penahanan suspek warga tempatan yang terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita itu, polis percaya telah menyelesaikan 19 kes pecah rumah dan curi kenderaan dengan anggaran kerugian kira-kira RM800,000.

Beliau berkata bertindak atas maklumat, polis Kota Kinabalu telah menangkap kesemua suspek berusia antara 21 hingga 40 tahun di dua rumah berasingan dan satu tempat bebas di sekitar Taman Nelly Kolombong, Inanam, dekat Kota Kinabalu dalam operasi yang dijalankan dari jam 2.30 pagi hingga 11.52 malam.

"Dalam serbuan itu, polis merampas barangan curi dianggarkan bernilai RM300,000,” katanya dalam sidang media di Kota Kinabalu hari ini.

“Antaranya wang tunai, jam tangan pelbagai jenama, barang kemas, telefon bimbit, laptop, televisyen, dua kenderaan curi yang menggunakan nombor pendaftaran palsu serta dua kenderaan sewa yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah,"

Ramli berkata daripada tujuh suspek itu, enam mempunyai rekod jenayah lampau dan lima didapati positif dadah jenis syabu.

Beliau berkata modus operandi kumpulan ini ialah mengintai premis yang tidak berpenghuni (untuk disewa) selain menyewa kenderaan sebelum melakukan jenayah pecah rumah di premis yang telah dikenal pasti dan kebiasaannya menggunakan nama suspek wanita terbabit untuk membuat sewaan.

Menurutnya, kumpulan yang aktif sejak Februari itu berkemahiran membuka mangga berkunci, mematikan sistem penggera kenderaan dan membuat cukai jalan palsu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (Pencerobohan Rumah) dan Seksyen 397A Kanun Keseksaan (Mencuri Kenderaan) selain Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalahan membabitkan dadah, katanya.

Dalam pada itu, Ramli berkata, selain 'Geng Kelvin', polis juga telah menumpaskan dua kumpulan penjenayah yang melakukan kes sama, sehingga Julai ini.

"Dengan tertumpasnya ketiga-tiga geng ini, diharapkan kes jenayah pecah rumah dan curi kenderaan akan dapat dikurangkan," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS