Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan Pemuda Pakatan Harapan hari ini memfailkan saman terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Selain Najib, NGO Gerakan Anak Muda Tolak Najib (GANT1) itu turut menamakan kerajaan Malaysia dan firma pelaburan negara, 1MDB sebagai defendan.

Menurut peguam yang mewakili NGO berkenaan, Haniff Khatri, saman itu diwakili oleh 10 orang plaintif  adalah saman sivil yang bertujuan untuk memaksa kerajaan membuat pengisytiharan serta mendedahkan akaun yang digunakan bagi membayar International Petroleum Investment Co (IPIC).

Antara individu yang dinamakan sebagai plaintif ialah Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Faiz Fadzil, wakil ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Mahathir Mohd Rais serta wakil DAPSY, Howard Lee.

"Ini adalah tindakan saman sivil. Dari segi undang-undang tindakan ini ialah tindakan berkumpulan di mana 10 orang yang dinamakan plaintif itu bukan sahaja mewakili nama yang tersenarai tetapi untuk rakyat Malaysia.

"Kita mahu pengisytiharan serta pendedahan akaun yang telah dibuat pembayaran (kepada IPIC)," katanya pada sidang media di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Saman itu difailkan susulan penyerahan surat tuntutan kepada Najib yang dibuat pada Mei lalu.

Dalam tuntutan berkenaan, GANT1 menggesa penjelasan mengenai 1MDB dan urusannya dengan IPIC.

Surat tuntutan sebelum ini turut menuntut penjelasan mengenai apakah undang-undang yang telah atau akan diambil terhadap IPIC bagi mendapatkan semula AS$3.5 bilion (RM15.5 bilion) yang dibayar 1MDB kepada Aabar Investments PJS Ltd.

Sementara itu, Faiz selaku teraju GANT1 berkata, antara perkara lain yang dituntut mereka dalam saman itu ialah untuk memohon segala wang yang telah dibayar atau akan dibayar kepada IPIC dikembalikan.

Malah, mereka turut memohon perintah injuksi daripada mahkamah agar tiada sebarang pembayaran dibuat.

"Kita minta antara lain ialah memohon deklarasi penyelesaian antara IPIC dan 1MDB, kita juga mohon segala wang yang telah dibayar atau akan dibayar dikembalikan.

"Kita juga mohon perintah injuksi supaya tiada apa-apa bayaran dibuat sehingga keputusan akhir serta mohon dedahkan akaun yang menyelesaikan isu IPIC ini.

"Kita nak tahu dari mana dapat wang untuk bayar IPIC ini. Kita memerlukan perintah ini untuk rakyat tahu perbelanjaan wang negara secara telus dan bersih," kata Faiz.

1MDB dan IPIC telah mencapai proses timbang tara yang dimulakan IPIC pada 2016.

IPIC telah memulakan tuntutan terhadap 1MDB di Mahkamah Timbangtara Antarabangsa di London pada 2016, dengan meminta AS$6.5 bilion daripada syarikat pelaburan negara itu kerana gagal memenuhi tanggungjawabnya kepada IPIC.

Pada April tahun ini, IPIC dilaporkan berkata 1MDB dan MOF Inc telah bersetuju membayar AS$1.2 bilion dan juga memikul tanggungjawab terhadap dua bon yang sebelum ini dijamin oleh IPIC bernilai AS$ 4.8 bilion

Di bawah penyelesaian itu, 1MDB dan IPIC juga memasuki perbincangan mengenai dana 1MDB yang telah dibayar kepada entiti tertentu.

Lihat Komen
ADS