Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada kes kencing tikus di madrasah tahfiz
Diterbitkan:  Jul 11, 2017 4:04 PM
Dikemaskini: 11:49 AM

Pengurusan Madrasah Tahfiz al-Jauhar menegaskan tidak ada ruang untuk pelajar di sekolah berkenaan terdedah kepada jangkitan kencing tikus leptospirosis sepanjang tempoh berada dalam jagaan mereka.

Pengetua sekolah itu, Mohammad Afdhaluddin Ismail, berkata allahyarham Mohamad Thaqif Mohd Gadaffi juga tidak menunjukkan sebarang tanda kurang sihat semasa berada di asrama berkenaan.

"Semasa minggu-minggu awal memulakan pengajian di sini, arwah ada demam sikit dan rindu kepada keluarganya.

"Doktor kami memantau suhu badan beliau dan bacaan ketika itu adalah norman, tiada yang luar biasa," katanya seperti dipetik New Straits Times hari ini.

Mohammad Afdhaluddin juga berkata rekod sekolah itu menunjukkan Mohamad Thaqif berada dalam keadaan kesihatan terbaik, termasuk ketika pulang ke rumah.

Sekolah itu juga katanya tidak mencatatkan kes kencing tikus lain.

Ada inkues terbuka

Mohammad Afdhaluddin bercakap kepada media di Johor Bahru bagi mengulas pengumuman Kementerian Kesihatan semalam yang mengesahkan kematian Mohammad Thaqif berpunca daripada jangkitan kuman kencing tikus.

Mohammad Thaqif, 11, menghembus nafas terakhir di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, pada 26 April selepas kedua-dua kakinya dipotong.

Insiden itu pada asalnya disiasat sebagai kes dera, namun bertukar kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membabitkan bunuh.

Seorang pembantu warden ditahan reman oleh polis bagi membantu siasatan dan dia akhirnya dibebaskan pada 3 Mei lalu.

Ibu Mohamad Thaqif, Felda Wani Ahmad, dilaporkan menolak laporan punca kematian tersebut.

Sementara itu Zikri Kamarulzaman melaporkan, polis mungkin mendakwa suspek dengan tuduhan lebih rendah berbanding bunuh.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata polis akan merujuk kepada pejabat Peguam Negara untuk langkah seterusnya.

"Kalau tengok laporan bedah siasat, kita dapati sebab kematian (Mohamad Thaqif) adalah lain (iaitu) disebabkan kencing tikus.

"Maka sudah tentu kita tidak dapat mendakwa suspek atas tuduhan membunuh," katanya.

Tuduhan lain yang boleh dikenakan, kata Noor Rashid, ialah menyebabkan kecederaan.

Beliau yang ditemui di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini memberitahu, suatu inkues mengenai kematian Mohamad Thaqif akan diadakan.

"Inkues akan diadakan di mahkamah terbuka, semua orang boleh dengar," katanya.

Lihat Komen
ADS