Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selamat teringin berbulan madu dengan Rohaya di Monas
Diterbitkan:  Jul 11, 2017 6:12 PM
Dikemaskini: 10:16 AM

GLOBAL | Ketika melalui detik bahagia dalam hidup, nampaknya ada yang belum selesai buat Selamat Riyadi Husni.

Dia masih memasang impian berbulan madu bersama isteri yang baru dinikahinya awal bulan ini.

Namun impian Selamat, 16, untuk membahagiakan isterinya, Rohaya Kiagus Muhammad Jakfar, 71, sangat sederhana. Dia mengidamkan bersiar-siar di tugu kebangsaan Indonesia yang lebih dikenali sebagai Monumen Nasional (Monas).

Apabila ditanyakan mengapa Monas menjadi pilihan, Selamat jujur menjawab: "Kerana kalau nak ke Singapura, jauh sangat."

Kisah mereka juga semakin menarik perhatian ramai. Jika di luar negara saja sudah banyak media yang melaporkan, di Indonesia sendiri tentu lebih ramai yang berminat.

Sriwijaya Post melaporkan, pasangan pengantin yang dibezakan oleh 55 tahun itu mendapat jemputan daripada sebuah stesen televisyen di Jakarta.

Mereka dijangka menjadi tetamu istimewa sebuah rancangan bual bicara.

Suami ketiga

Namun sebelum ke Jakarta, Selamat dan Rohaya - dari Lengkiti, Ogan Komering Ulu (OKU) Sumatera Selatan - dilaporkan singgah seketika di Palembang.

Mereka juga dilihat bergambar di satu daripada mercu tanda bandar Palembang, iaitu Jambatan Ampera dan benteng Kuto Besak.

Pernikahan Selamat dan Rohaya pada 4 Julai lalu cepat menarik perhatian ramai kerana perbezaan usia pasangan terbabit.

Asalnya Rohaya - yang ketika itu dipanggil Bibik - menjadi penjaga Selamat yang sakit. Perkenalan itu berlanjutan sehingga membuahkan rasa cinta.

Rancangan mereka dilaporkan sempat mendapat tentangan namun merpati sejoli itu nekad untuk berumah tangga. Mereka juga dilaporkan mengugut untuk membunuh diri jika niat itu dihalang.

Pihak berkuasa agama kemudian menganggap pernikahan itu tidak sah kerana tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Namun di sebalik penegasan itu nampaknya Selamat dan Rohaya masih kekal sebagai suami isteri.

Selamat - yang dilaporkan belum lancar membaca - juga mempunyai perasaan sangat cemburu.

Justeru Selamat tidak rela membiarkan isterinya itu berada di luar rumah ketika dia ke kedai membeli barang keperluan rumah.

Untuk rekod, Selamat adalah suami ketika Rohaya. Dua lelaki lain yang pernah menikahinya sebelum ini meninggal dunia.

Lihat Komen
ADS