Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah membuat laporan kepada polis malam ini selepas tingkap kereta yang sedang dipandunya dipecahkan orang tidak dikenali tadi.

Katanya, dia sedang menuju ke suatu tempat untuk bermesyuarat dan baru saja membelok dari pejabatnya di Petaling Jaya untuk memasuki Lebuh Raya Persekutuan.

"Ia berlaku sangat pantas. Seseorang menghentak cermin di sebelah saya ketika saya sedang memandu.

"Ada sesuatu menghentam tingkap kereta saya dan ia terus retak," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Disebabkan memberi tumpuan kepada pemanduannya, manakala cermin di sebelah kanannya retak, Maria tidak dapat melihat siapa atau apa yang menyebabkan ia berlaku.

Kata Maria kejadian berlaku kira-kira jam 5.20 petang tadi.

Kata Maria laporan polis dibuat kerana sebelum ini dia turut menerima mesej dan panggilan telefon daripada pihak tidak dikenali sejak beberapa hari lalu.

Pada masa tertentu, katanya, pemanggil tidak bercakap apa-apa sebaliknya cuma diam dan memutuskan talian selepas beberapa detik.

Panggilan seumpama itu, kata Maria, turut diterima sejurus selepas tingkap keretanya pecah.

Gangguan itu, katanya, turut dialami anak lelakinya.

"Saya harap sangat kejadian ini cuma kemalangan, tetapi nampak bukan begitu sebab tiada lori membawa pasir atau batu berdekata saya ketika kejadian," katanya.

Bercakap kepada media selepas membuat laporan polis di Kelana Jaya, Maria berkata, panggilan gangguan itu juga berlaku di pejabat BERSIH.

"Hari ini sebelum kejadian yang menimpa saya, seseorang menelefon pejabat dan menjeritkan perkataan bodoh pada kakitangan saya," katanya.

Menganggap insiden tadi sebagai "perbuatan pengecut" Maria berkata, dia agak sangsi sama ada polis akan mengambil tindakan atas laporannya atau tidak.

Sebelum ini Maria pernah membuat laporan polis berhubung ugutan yang diterima, termasuk membabitkan nyawa diri sendiri dan anak lelakinya, selain anggota sekretariat BERSIH, Mandeep Singh dan bekas pengerusi pertubuhan pendesak reformasi pilihan raya itu, Datuk S Ambiga.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS