GLOBAL Ketegangan diplomatik di Timur Tengah antara Arab Saudi dan sekutunya serta Qatar bukan sahaja menjejaskan penduduk berkaitan, tetapi juga haiwan.

Akibat kemelut itu, beratus-ratus unta mati kehausan selepas petani-petani Qatar diusir daripada Arab Saudi dan terpaksa merentas padang pasir yang suhunya lebih 50 darjah Celsius, lapor Independent.

Ia berpunca apabila banyak binatang itu terkandas di sempadan dan berjemur dalam tempoh yang lama bawah cahaya matahari terik kerana hanya beberapa ratus ekor sahaja dibenarkan merentasi sempadan setiap hari.

Terdapat juga unta-unta yang ditinggalkan begitu sahaja di tepi-tepi jalan oleh pemiliknya.

“Unta-untuk ini kehausan kerana tidak tahu hendak pergi mana,” seorang pemilik unta Said Said Al Hajari dipetik sebagai berkata.

Qatar bagaimanapun menyediakan teduhan, air dan makanan kepada lebih 8,000 unta yang berjaya menyeberangi padang pasir di sempadannya.

Bagaimanapun, terdapat laporan menyebut angka itu jauh lebih tinggi sehingga 25,000 binatang menjadi korban kemelut itu.

Petani-petani Qatar sering menggembala unta mereka sehingga di kawasan-kawasan negara jiran.

Arab Saudi dan sekutunya memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar selepas menuduh negara itu mempunyai kaitan dengan pengganas dan Iran.