Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zuhdi cabar Mahfuz berdebat
Diterbitkan:  Jul 12, 2017 7:13 PM
Dikemaskini: 11:15 AM

Seorang daripada anggota Jawatankuasa Pusat PAS mencabar bekas naib presiden parti itu, Datuk Mahfuz Omar, untuk berdebat.

Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata debat berkenaan perlu kerana ia boleh menjernihkan "kecelaruan" yang dialami Mahfuz.

Melalui debat, katanya, segala dakwaan yang dibuat anggota parlimen terbabit dapat dijawab.

"Dan Mahfuz sewajarnya tidak lagi celupar jika semua dakwaan beliau sudah terjawab," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahfuz adalah segelintir tokoh dalam PAS yang dilihat sering mengeluarkan kenyataan tidak sehaluan dengan parti, termasuk presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Keadaan itu menyebabkan beliau digolongkan dalam kumpulan digelar "harumanis" merujuk kepada buah mangga terkenal di Perlis yang mempunyai kulit berwarna hijau namun isinya berwarna oren.

Pada kebanyakan masa Mahfuz juga dianggap bercakap dengan kepentingan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Zuhdi yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP) berkata banyak kenyataan Mahfuz bersifat menyerang parti dan ia diselindungkan dengan ungkapan "masih sayang kepada PAS".

"Dengan serangan-serangan tersebut, beliau sebagai anggota parlimen PAS diyakini tidak lagi akan membawa mesej parti.

"PPP juga mendapat maklumat beliau tidak lagi menghadiri program-program penerangan dan penjelasan tentang hala tuju serta pendirian parti, sebaliknya terus menerus mengeluarkan kenyataan mengelirukan," katanya.

Isu yang dibangkitkan Mahfuz, kata Zuhdi, sebenarnya sudah dijawab dalam program-program anjuran PAS.

"Sikap yang ditunjukkan oleh anggota parlimen Pokok Sena itu kelihatan sengaja dilakukan untuk menunjukkan hanya pandangan beliau yang tepat berhubung dengan senario terkini politik," katanya.

Oleh itu, kata Zuhdi, dia mencabar Mahfuz untuk berdebat untuk memberi ruang kepadanya membuktikan keputusan pucuk pimpinan PAS tergelincir daripada matlamat sebenar.

"Disebabkan isu-isu berkaitan hala tuju dan pendirian parti banyak berkaitan dengan hal ehwal dalaman PAS, debat yang dianjurkan hanya terbuka kepada pimpinan dan ahli parti. PPP sendiri bersedia menjadi penganjurnya.

"Selain PPP, saya juga mengalu-alukan jika ada agensi lain parti khususnya yang berada di bawah Badan Perhubungan PAS Kedah menganjurkan debat tersebut," katanya.

Lihat Komen
ADS