Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail menggariskan perbezaan antara ‘Langkah Kajang’ pembangkang dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Beliau juga membidas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli kerana mendakwa ‘Langkah Kajang’ pembangkang, yang membawa kepada pilihan raya kecil 2014 untuk kerusi DUN Kajang, memberi manfaat kepada rakyat.
Menyifatkan dakwaan itu sebagai lawak jenaka, Zein Isma menuduh pemimpin pembangkang cuba menutup kesilapan melaksanakan pilihanraya kecil itu yang ternyata hanya satu pembaziran wang dan masa rakyat.
“Bagaimana Rafizi kata pilihanraya Kajang yang digelarknya sebagai Langkah Kajang itu sesuatu yang memberi manfaat kepada rakyat? Sedangkan Langkah Kajang yang diokestrakannya itu hanyalah satu permainan politik demi kepentingan satu pihak dan untuk menjatuhkan satu pihak yang lain, dengan mempergunakan rakyat untuk mencapai tujuan itu.
“Kita semua tahu bahawa Langkah Kajang itu dilakukan semata-mata kerana hasrat (Datuk Seri) Anwar Ibrahim untuk menjadikan isterinya, (Datuk Seri Dr) Wan Azizah (Ismail) sebagai menteri besar Selangor menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.
“Tetapi ternyata ia sia-sia apabila akhirnya (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dipilih menjadi menteri besar Selangor. Jelas ia membazir wang, masa dan tenaga rakyat.
“Bahkan, Langkah Kajang Rafizi itu adalah satu gerakan yang kotor apabila beliau menjadikan fitnah sebagai senjata untuk menyerang Tan Sri Khalid di mana akhirnya selepas selesai pilihan raya tersebut, PKR secara terbuka terpaksa memohon maaf kepada Tan Sri Khalid kerana memfitnah beliau," kata Zein, merujuk kepada kes mahkamah pada tahun 2015.
Tujuan awal ‘Langkah Kajang’ adalah untuk mencetuskan pilihan raya kecil bagi membolehkan Anwar, yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun, dilantik sebagai menteri besar. Tetapi sabitan kesalahannya telah menggagalkan rancangan ini.
Ini menyebabkan Wan Azizah pula terpaksa dinamakan sebagai calon bagi pilihan raya kecil itu, yang menyusul selepas perletakan jawatan wakil rakyat PKR untuk Kajang CC Lee.
Di sebalik kemenangannya, PKR gagal menamakan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar, dengan Sultan Selangor akhirnya memilih Azmin untuk jawatan itu.
Langkah Kajang sebahagian besarnya dianggap sebagai satu kegagalan, tetapi Rafizi menekankan objektif utama untuk mengketepikan Khalid berjaya dicapai.
Khalid dipecat oleh PKR pada Ogos tahun itu dan kini menjadi ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Bebas.
