Polis siasat pesara dakwa dikasari pegawai polis
Polis sedang menyiasat laporan seorang pesara kerajaan yang mendakwa dikasari pegawai polis di depan sebuah tadika di Jalan Taming Sari, di Taiping hari ini.
Ketua Polis Daerah Taiping ACP Harith Abdullah berkata pesara berumur 59 tahun itu membuat laporan polis mendakwa dikasari dan diugut oleh seorang pegawai polis berpangkat inspektor di tepi jalan di depan tadika berkenaan.
"Cermin kereta pesara itu turut dipecahkan selain mengalami sedikit kecederaan. Difahamkan kejadian berpunca daripada perselisihan salah faham," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Harith berkata polis memandang serius perkara itu dan tidak akan berkompromi dengan tindakan pegawainya jika benar dia bertindak melanggar peruntukan undang-undang.
"Siasatan akan dijalankan secara adil dan telus,”katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324/427/506 Kanun keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967.
- Bernama

