Sejumlah 133 pelajar Kolej Vokasional Bukit Minyak, di George Town mengalami sakit perut, muntah dan cirit-birit dipercayai akibat keracunan makanan selepas makan tengah hari di dewan makan asrama kolej itu semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr M Sukumar berkata Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) menerima maklumat kejadian itu kira-kira pukul 3 petang semalam, membabitkan 10 pelajar.

"Sehingga pukul 10 pagi ini, sebanyak 73 pelajar perempuan dan 60 pelajar lelaki menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam. Empat daripada mereka dimasukkan ke wad dan dilapor dalam keadaan stabil manakala yang lain dirawat sebagai pesakit luar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata semua pelajar itu mengalami simptom sakit perut, loya, muntah dan cirit-birit.

Jabatan Kesihatan Negeri mengambil sampel makanan yang disediakan di dewan asrama kolej itu untuk dibuat ujian bagi siasatan lanjut punca keracunan.

- Bernama