Bom: Reman disambung, motif utama diperinci
Reman seorang lelaki, yang ditahan polis pada Isnin kerana disyaki memasang bom buatan sendiri pada kereta bekas kekasihnya, disambung sehingga hari ini bagi memperinci siasatan motif utama perbuatan itu.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata siasatan awal mengesyaki perbuatan lelaki itu, yang bekerja sebagai juruteknik, bertujuan mengugut bekas kekasihnya yang tidak melunaskan pinjaman bulanan bank bagi kereta tersebut.
Beliau berkata ini kerana lelaki berumur 27tahun itu menjadi penjamin bagi pinjaman bank berkenaan dan dia tidak berpuas hati dengan sikap bekas teman wanitanya itu.
“Setakat ini, siasatan awal menunjukkan tindakan lelaki itu adalah sebagai ugutan malah pembuatan bom yang dipasangnya juga bukanlah seperti pakar. Mungkin sekadar ditiru daripada laman sosial," katanya kepada pemberita semalam.
Terdahulu, Ab Rashid menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Klang Utara yang baharu ACP Mazelan Paijan bagi menggantikan ACP Mohd Yusoff Mamat yang bertukar ke Bukit Aman sebagai Timbalan Pengarah Kepolisan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.
Dalam pada itu, Ab Rashid berkata polis akan memanggil semua individu yang didakwa terlibat dalam kes pencerobohan sebuah gudang menyimpan kenderaan di Kajang,Selangor pada hari Isnin lepas bagi merekodkan kenyataan mereka.
Menurutnya siasatan awal menunjukkan syarikat itu, yang didakwa menipu 500 individu, didapati menjalankan perniagaan secara sah.
Namun, polis akan menyiasat kes pencerobohan itu secara lebih terperinci tanpa menyebelahi mana-mana pihak, katanya.
Sementara itu, Ketua Siasatan Jenayah Selangor Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata dua suspek utama kes samun di Kampung Masjid, Kajang pada Jumaat lepas telah ditahan awal pagi semalam.
Beliau berkata penahanan dua suspek lelaki itu adalah susulan penangkapan seorang wanita dan seorang lelaki masing-masing berumur 56 tahun dan 22 tahun di Kajang, kelmarin.
Kedua-dua lelaki tempatan itu yang berusia 21 dan 23 tahun ditahan antara jam 4.30 hingga 5.30 pagi di Sungai Chua, Kajang, katanya dalam kenyataan semalam.
“Lelaki berumur 21 tahun itu mempunyai enam rekod jenayah lampau dan seorang lagi mempunyai lima rekod jenayah lampau. Kesemua empat suspek ditahan reman selama enam hari mulai hari ini,” katanya.
Dalam kejadian samun itu, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun cedera parah dengan tengkorak kepalanya pecah selain kecederaan lain di kepala, dagu dan mulut dipercayai dipukul suspek.
- Bernama

