Bayi antara 12 terbunuh serangan pengebom di Cameroon
GLOBAL Sekurang-kurangnya 12 orang awam terbunuh, termasuk seorang bayi dan lebih 40 yang lain cedera dalam letupan melibatkan pengebom bunuh diri di bandar kecil di utara Cameroon Rabu lalu.
"Seramai 14 terbunuh dalam kejadian itu, termasuk dua pengebom bunuh diri wanita yang melakukan serangan di bandar Waza yang terletak kira-kira 8 kilometer daripada sempadan Nigeria," kata seorang jurucakap tentera.
Menurut beliau, seorang penyerang bunuh diri sempat meletupkan bom di kawasan yang penuh sesak dengan orang awam manakala rakannya mati ditembak anggota keselamatan.
Setakat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu, namun kawasan tersebut sering menjadi sasaran serangan kumpulan militan Boko Haram.
Bulan lalu, sembilan terbunuh di bandar Kolofata apabila dua kanak-kanak yang membawa bahan letupan meletupkan diri berhampiran kawasan penempatan pelarian.
Dalam masa kira-kira lapan tahun, serangan yang dilakukan kumpulan Boko Haram telah menyebabkan lebih 20,000 penduduk di Nigeria, Cameroon, Chad dan Niger, terbunuh.
Selain itu, menurut statistik agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, lebih 2.7 juta rakyat terpaksa menjadi pelarian akibat keganasan kumpulan berkenaan.
- Bernama-NNN-Agencies

