Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Harap lebih ramai calon wanita BN pada PRU14 - Azizah
Diterbitkan:  Jul 14, 2017 4:59 PM
Dikemaskini: 9:03 AM

Pergerakan Wanita Barisan Nasional (BN) menjangka lebih ramai ahlinya dicalon untuk bertanding dalam pilihan raya umum le-14 (PRU14), berbanding dengan pilihan raya umum lepas, kata naib ketua pergerakan itu, Datuk Azizah Mohd Dun.

Beliau berkata calon berpotensi, yang berkaliber tinggi dengan memberi khidmat cemerlang kepada rakyat, telah dikemukakan kepada kepimpinan tertinggi BN untuk pertimbangan.

Menurutnya, calon yang disenaraikan itu adalah mereka yang melalui proses penilaian bagi memastikan mereka cukup sesuai serta calon boleh menang bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Azizah, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata demikian kepada pemberita di
majlis rumah terbuka Aidilfitrinya di Labuan semalam.

Beliau berkata pergerakan itu menyasarkan kuota 30 peratus calon wanita dapat diketengahkan di peringkat Parlimen dan DUN pada PRU14 kali ini.

Azizah, yang juga ahli Parlimen Beaufort, berkata  penampilan lebih ramai calon bertanding PRU14 adalah tepat masanya kerana sayap wanita bekerja keras dalam mengukuhkan parti komponen BN.

Pada PRU13 lepas, BN meletakkan calon wanita paling ramai iaitu 22 orang bagi kerusi Parlimen dan 49 orang di DUN. Daripada jumlah itu, calon wanita BN menang 13 kerusi Parlimen dan 27 kerusi DUN.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS