Menteri banding projek di P Pinang dengan lebuh raya di Johor
Kementerian Kerja Raya hari ini membandingkan dakwaan bayaran berlebihan bagi projek tiga lebuh raya utama dan terowong bawah laut di Pulau Pinang dengan projek pembinaan lebuh raya di Johor.
Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof memberikan contoh di mana JKR hanya membayar kira-kira RM19 juta bagi bayaran perundingan bagi projek pra-pembinaan untuk sebuah lebuh raya di Johor baru-baru ini.
"Yuran ini terdiri daripada semua perkhidmatan yang diperlukan dan termasuk yuran bagi semua tinjauan, siasatan tanah, penilaian awal impak alam sekitar dan semua rekabentuk sivil, struktur, elektrik dan mekanikal," kata Fadilah dalam satu kenyataan hari ini.
Fadillah berkata kos rundingan pra-pembinaan sebanyak RM19 juta itu mewakili kira-kira 2.67 peratus daripada kos RM718,570,500 bagi jalan berkenaan sepanjang 30 kilometer.
Beliau menegaskan bahawa bukan semua yuran rundingan telah dibayar sebelum pembinaan bermula kerana 25 peratus ditahan di peringkat tender dan pembinaan sejajar dengan garis panduan Lembaga Jurutera.
"Bandingkan ini dengan jumlah bayaran pra-pembinaan RM220 juta yang telah dibayar sepenuhnya oleh kerajaan Pulau Pinang yang mewakili 11.06 peratus daripada kos pembinaan RM1.99 bilion untuk tiga jalan raya yang panjangnya 20km."
"Projek itu belum dimulakan pembinaannya walaupun lewat tiga setengah tahun," kata Fadillah.
Fadillah menegur kerajaan Pulau Pinang kerana "menafikan perkara yang tidak boleh dinafikan" dan bahawa projek tersebut dikatakan terlalu mahal.

