Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan Malaysia tidak berhasrat menyekat aplikasi Telegram seperti dilakukan Indonesia untuk mengekang aktiviti keganasan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya setakat ini tidak menjumpai sebarang bukti aktiviti keganasan disebarkan melalui aplikasi itu.

"Penelitian Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya Unit Anti Keganasan Cawangan Khas PDRM mendapati bahawa aplikasi itu setakat ini tidak mengandungi unsur yang akibatkan jenayah, jauh sekali bagi perbuatan merekrut atau melakukan pembiayaan bagi memperolehi dana bagi tujuan keganasan," katanya.

Zahid berkata demikian selepas menghadiri sambutan Rumah Terbuka Jakel di Wisma Jakel hari ini.

Sebelum itu beliau diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan Indonesia yang mengambil tindakan menyekat aplikasi Telegram setelah mendapati saluran media sosial berkenaan menjadi sarang komunikasi puak pengganas dan pelampau.

Bagaimanapun, Zahid berkata pihaknya tidak akan melepaskan tanggungjawab untuk memantau Telegram, namun tidak akan mencampuri perbualan peribadi.

"Kita tidak akan lepaskan tanggungjawab untuk memantau dan tidak berhasrat mencampuri perbualan peribadi di antara pengguna Telegram.

"Kita hormati hak peribadi namun kita punya kaedah tertentu jika terdapat komuniasi melibatkan kegananasan," katanya.

Tiga aplikasi turut dipantau

Selain itu, Zahid berkata KDN akan memantau tiga aplikasi lain iaitu WhatsApp, Youtube dan Instagram dengan menggunakan pendekatan mentafsir kod (decoding) sekiranya mempunyai unsur keganasan.

"Kita punyai pendekatan decoding untuk tentukan jika punyai unsur-unsur IS, DAESH dan lain-lain melalui aplikasi lain yang berbeza.

"Namun tidak dengan Telegram tapi ada beberapa unsur yang kita perolehi melalui perkara lain," katanya lagi.

Kelmarin Menteri Komunikasi dan Informasi Indonesia, Rudiantara berkata pihaknya mengambil tindakan tegas setelah mendapati media sosial itu terlalu banyak memuatkan komunikasi berunsur negatif.

Antara kandungan negatif yang dimaksudkan ialah propaganda pelampau, keganasan, fahaman kebencian, cara menghasilkan bom, cara melakukan serangan, gambar yang tidak senonoh dan lain-lain yang bertentangan dengan undang-undang Indonesia.

Lihat Komen
ADS