Paling Popular
Terkini

ULASAN I Kita dah melihat formasi pasukan HARAPAN yang telah dipersetujui bersama oleh pimpinan tertinggi parti-parti pembangkang dalam mempersiapkan pasukan menjelang PRU14 pada bila-bila masa mulai sekarang. Selesai satu hal.

Kelebihan atau kekurangannya, akan kita hadapi bersama selepas ini. Tidak akan ada benda yang sempurna, hanya ‘harapan’ yang masih terus bulat di hati rakyat.

Saya juga telah meneliti kerangka kerja sasaran 100 hari yang akan dilaksanakan jika mendapat mandat dari rakyat menggantikan kerajaan kleptokrasi Najib.

Saya kira rangka kerja 100 ini adalah asas yang cukup jelas dan cukup besar maknanya. Namun, tugas paling besar dan mencabar adalah peranan Tun Mahathir, iaitu untuk memecahkan taboo pemikiran orang Melayu, daripada ketakutan kepada berani, yakin dan melakukan perubahan.

Pada hakikatnya tugas itu digalas oleh semua pemimpin, bukan Tun M seorang saja.

Sebaliknya, apa yang saya maksudkan ialah bagaimana Tun M sebagai seorang tokoh yang suatu ketika dahulu, sebagai perdana menteri yang paling lama berkuasa dan sebagai Presiden untuk dua parti (Umno 46 dan Umno Baru), telah membina tembok-tembok hagemoni ketakutan kepada rakyat khususnya orang Melayu, untuk bukan sahaja mengekalkan status quo kuasa partinya tetapi membina pemikiran yang percaya bahawa Umno adalah tiang seri kuasa politik orang Melayu.

Itulah maksud saya.

Pecah ketakutan Melayu

Disebalik misi besar 100 hari selepas mengambilalih kuasa kerajaan kleptokrasi Najib, tugas memecah ketakutan orang Melayu inilah tugas terbesar bagi Tun M khususnya, ketika ini.

Dalam berdepan dengan hakikat pemikiran orang Melayu yang ditanamnya selama ini, Tun M pastinya akan berdepan tugas getir yang bukan semua pemimpin sanggup dan mampu melaksanakannya.

Dia sewaktu berkuasa, mencipta banyak undang-undang yang menyekat kebebasan dengan maksud untuk menghalang apa-apa perubahan politik, di dalam Umno mahupun di luar Umno.

Jika Tun M diibaratkan seorang warden yang berkuasa, suatu waktu dahulu dia membina, memasukkan, mengunci sel dan memenjarakan rakyatnya, kini beliau perlu berusaha membuka kembali kunci sel itu malah beliau perlu mengajak rakyatnya agar keluar membebaskan diri mereka (politik).

Saya kira tidak ada buku manual atau buku panduan dalam keadaan ini. Ia bergantung kepada kebolehan unik Tun M untuk melakukannya.

Mitos pemikiran Melayu

Apa yang ada di tangannya ketika ini, baik skandal 1MDB, kesan GST, skandal FGV dan masalah Felda, mungkin hanya akan menjadi isu-isu yang boleh menggegar perhatian orang Melayu, tetapi ia mungkin belum cukup untuk menjadi kunci membebaskan taboo ketakutan yang telah tertanam di benak orang Melayu sejak sekian lama.

Kini, beliau sebagai salah seorang tokoh pembangkang yang berada di saf paling depan, akan bersemuka bukan sahaja dengan Umno, malah akan berdepan dengan mitos pemikiran orang Melayu ini.

Sebelum ini, Anwar Ibrahim membawa obor reformasi dengan lenggok gaya dan strateginya, namun belum cukup ampuh mengubah mitos tersebut.

Begitu juga dengan kempen ‘Ubah’, belum berupaya memecah taboo tersebut. Malah, ada yang berpendapat pakej ‘ubah’ ini juga membawa ton nada yang negatif, ia jadi senjata makan tuan apatah lagi DAP dilihat terkehadapan berkempen.

Justeru, adakah pakej-pakej yang sama ini, jika dibawa oleh Tun M dengan gaya bahasa dan strateginya, akan mampu menjadi sebab metos tersebut pecah? Atau adakah kita perlu merangka naratif baru bersama Tun M untuk mencapai maksud tersebut? Kita belum tahu.

Tidak mudah berundur

Saya tidak dapat menganalisa pemikiran Tun M yang sangat berpengalaman luas dan licik berpolitik. Tetapi apa yang kita semua boleh jangka ialah Tun M tidak akan mudah berundur dari hajatnya.

Dahulu, beliau berhajat untuk mengekalkan Umno di tampuk kuasa dan beliau mengotakan kata-katanya hingga setelah Umno dan negara dirampas oleh regim kleptokrasi Najib.

Dan pada hari ini, hajat beliau yang baru ialah untuk menghumban Najib dan Umno dari Putrajaya. Saya yakin, hajat beliau ini juga akan dikotakannya. Soal berjaya atau tidak, kita belum tahu. Politik, akhirnya tentang berkongsi hajat dan musuh yang sama.

Tugas berat Tun M ini sudah semestinya memerlukan sokongan rakan-rakan gabungan HARAPAN.

Waktu kecederaan

Adakah rakan-rakan Tun M yang baru ini memahami naratif politik ini, sebelum mengizinkan politik pembangkang diolah kembali agar kunci perubahan pemikiran orang Melayu dapat dibuka hingga perubahan politik dapat berlaku.

Jika ini sebuah perlawanan bolasepak, kita sedang berada di waktu ‘kecederaan’ ( injury time ).

Bagi Tun M, barangkali inilah detik terakhir dan paling penting dalam karier politiknya, ini mungkin menjadi ‘momen’ bagaimana dia dapat membantu meluruskan kembali naratif politik kita.

Bagi Anwar Ibrahim, ini juga adalah waktu terakhir beliau menyumbang semangat dan sisa-sisa karismanya untuk membuat perubahan politik.

Bagi Lim Kit Siang, saya kira ini juga akan menjadi titik penting bagi beliau dalam usahanya puluhan tahun untuk menjadikan DAP sebagai parti bagi semua kaum di Malaysia dalam naratif kewujudan sebuah Negara Bangsa.

Kita belum menang, tugas terbesar Tun M ini perlu pembelaan. Bercakap dalam bahasa yang mudah difahami oleh mereka yang percaya kepada mitos, bukan hal yang mudah.


MAHDZIR IBRAHIM ialah pengarah pendidikan politik DAP Johor.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS