Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib lancar buku ‘Asal usul Melayu’
Diterbitkan:  Jul 16, 2017 7:03 PM
Dikemaskini: 11:05 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan buku 'Asal Usul Melayu Induknya di Benua Sunda', yang mengumpulkan dan menceritakan beberapa idea mengenai sejarah asal usul Melayu dan perjalanan sejarahnya.

Najib, yang juga presiden Umno, melancarkan buku berkenaan di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bersempena Majlis Rumah Terbuka Umno 2017.

Buku itu adalah hasil tulisan tiga penyelidik iaitu Zaharah Sulaiman, Prof Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh dan Prof Emeritus Datuk Dr Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman, yang merupakan pakar arkeologi daripada Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Buku itu diterbitkan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Penyelidik dan penulis utama buku itu, Zaharah berkata beliau menghabiskan masa selama tujuh tahun mengumpulkan bahan dan membuat rujukan lebih 1,000 sumber penyelidikan daripada pakar genetik genom manusia bagi melengkapkan buku tersebut.

"Melalui kajian ini, saya berharap ia dapat menghapuskan segala persepsi negatif mengenai asal-usul bangsa Melayu serta menjadi rujukan untuk tujuan penyelidikan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran buku itu.

Turut menghadiri majlis pelancaran itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga naib presiden Umno dan menjalankan tugas timbalan presiden parti.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS