Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anggota Umno wajib sokong calon parti
Diterbitkan:  Jul 16, 2017 7:09 PM
Dikemaskini: 11:23 AM

Anggota Umno perlu menyokong penuh calon parti yang dipilih bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ini penting bagi memastikan Umno terus menjadi tunjang BN dalam memegang tampuk pemerintahan negara sekaligus memperjuangkan dan membela nasib orang Melayu.

"Wajib untuk kita pastikan calon menang kerana kalau ada isu sabotaj sesama sendiri atau lompat parti, tentu saja tak boleh menang.

"Kita tak tahu siapa yang akan bertanding, itu pilihan pucuk pimpinan, kita pun dah berikrar akan setia pada parti dan patuh pada pucuk pimpinan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Rasah, di Seremban hari ini.

Beliau berkata sekiranya berlaku sabotaj dalam kalangan anggota parti, ia bukan sahaja merugikan calon yang bertanding tetapi juga Umno.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata anggota Umno perlu mengetepikan kepentingan peribadi dan mengutamakan kepentingan parti.

"Sebaik sahaja parti dah umum calon, kita sudah tiada pilihan untuk merasa tidak berpuas hati.

"Saya harap kita bersatu untuk PRU akan datang kerana ini penting untuk perjuangan Umno membela nasib orang Melayu dapat dipertahan," katanya.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS