Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BN S’wak boleh menang besar, kata Nancy
Diterbitkan:  Jul 16, 2017 7:26 PM
Dikemaskini: 11:29 AM

BN Sarawak boleh menang besar dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan merampas kembali kerusi yang dimenangi pembangkang pada pilihan raya umum lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata semangat setiakawan baik dan mesra dalam kalangan parti komponen BN di Sarawak selain perkongsian strategi antara satu sama lain boleh memastikan prestasi lebih baik bagi semua komponen parti BN di Sarawak.

Parti komponen BN di Sarawak terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

“Adalah penting BN Sarawak menang besar agar suara Sarawak dapat didengar pemimpin-pemimpin kerajaan persekutuan,” katanya.

Beliau memberi contoh SUPP yang dapat mempamer prestasi lebih baik pada pilihan raya negeri Sarawak yang lepas kerana terdapat semangat kerjasama baik dalam kalangan semua parti komponen.

Oleh itu Nancy yakin BN mampu merampas balik kerusi Stampin sekiranya semangat yang sama wujud dan menambah undi bumiputera akan turut menentukan hasil keputusan undian.

Kerusi itu kini dipegang DAP setelah menang pada 2013.

“Semasa pilihan raya negeri lalu, banyak pengundi bumiputera keluar mengundi dan itu adalah antara sebab yang memberi kemenangan kepada calon BN termasuk di kerusi (DUN) Batu Kitang dan Batu Kawa,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran cawangan PBB Batu Kitang di Kampung Haji Baki di Kuching, hari ini.

Kerusi Parlimen Stampin terdiri daripada kerusi Batu Kitang dan Batu Batu Kawa.

“Terdapat hampir 40 peratus pengundi bumiputera di Batu Kitang dan 39 peratus di Batu Kawa.

“Dengan strategi dan kerjasama yang betul dalam kalangan parti komponen, dengan izin Tuhan, BN boleh menang di Stampin,” kata Nancy.

Sementara itu beliau berkata beliau tidak tahu sama ada terdapat seorang lagi calon wanita PBB yang akan diturunkan pada PRU nanti.

“Kita sudah mempunyai wakil wanita mencukupi daripada PBB, tapi sekiranya pimpinan parti itu merasakan perkara itu adalah baik, saya sudah tentu menyokongnya,” tambahnya.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS