Polis Kelantan berjaya menumpaskan kumpulan samun dikenali sebagai 'Harry Gunong' dengan tertangkapnya tiga lelaki dalam satu serbuan di sebuah restoran dekat Jalan Pasir Puteh, Melor, Kelantan malam tadi.
Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata dalam kejadian itu juga polis berjaya merampas sepucuk revolver bersama tiga biji peluru hidup dan tiga kelongsong peluru.
Beliau berkata serbuan dilakukan selepas sepasukan anggota menerima maklumat mengenai kehadiran tiga suspek berusia 20an di restoran terbabit dan terus melancarkan operasi pada pukul 12.10 tengah malam tadi.
"Ketika serbuan dua suspek berjaya ditahan manakala seorang lagi suspek yang berada di dalam sebuah kereta jenis Perodua Axia telah melepaskan tiga das tembakan ke arah pasukan polis sebelum cuba melarikan diri.
"Ekoran daripada itu polis telah melepaskan lima das tembakan ke arah tayar kereta suspek dan seorang anggota turut cedera ringan ketika bergelut menahan suspek tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Hasanuddin berkata suspek utama dikenali sebagai 'Harry Gunong' berusia 25 tahun yang berasal dari Bachok dan dipercayai ketua kumpulan samun tersebut, manakala dua lagi suspek berusia 20an berasal dari Wakaf Bharu, Tumpat.
“Siasatan awal polis mendapati kesemua suspek pernah ditahan antara 28 dan 31 kali dan dua suspek yang ditahan juga didapati dalam senarai dikehendaki atas kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan orang awam dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.
Beliau berkata hasil tangkapan terhadap tiga suspek itu, polis juga berjaya merampas dua kenderaan iaitu Perodua Axia dan Honda City serta pelbagai jenis senjata tajam seperti pedang samurai, parang dan kerambit.
Katanya barangan lain yang ditemui adalah telefon bimbit, jam tangan, rantai, cincin, loket, subang, perenjat elektrik selain peralatan pecah rumah.
"Siasatan mendapati kumpulan ini terlibat dalam sekurang-kurangnya 20 kes samun bersenjata, curi kenderaan, pemerasan, ugutan, mendatangkan cedera, khianat, menceroboh di Kelantan dan Terengganu.
"Kita juga percaya kumpulan ini bermula melakukan jenayah secara kecil-kecilan sejak tiga tahun lalu dan kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960," katanya.
-Bernama
