Johor: Medan tarung paling sengit PRU14

       

ULASAN Johor yang dihujani pelbagai aktiviti hujung minggu kali ini memberi gambaran jelas bahawa negeri paling selatan tanah air ini bakal menjadi medan pertarungan paling sengit antara Pakatan Harapan dan BN menjelang PRU ke-14.

Di pihak Pakatan Harapan, dianjurkan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Tun Mahathir Mohamad diundang menyampaikan ucapan di Kota Tinggi pada 15 Julai 207.

Ia merupakan ucapan sulungnya setelah diamanahkan sebagai pengerusi Pakatan Harapan pada 13 Julai 2017 yang lalu.

Program itu mendapat sambutan hangat dengan kehadiran sekitar 3,000 orang terdiri daripada pelbagai kaum.

Ini satu jumlah yang cukup besar memandangkan Kota Tinggi adalah salah satu ‘kubu terkuat Umno’.

Turut diundang menyampaikan ucapan adalah Mohamad Sabu, presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Saifuddin Nasution, setiausaha agung PKR dan saya sendiri mewakili ketua parlimen DAP Lim Kit Siang.

Selain itu, AMANAH telah mengadakan rumah terbuka Aidilfitri peringkat negeri Johor di Batu Pahat pada 14 Julai.

Majlis amat meriah ditambah kehadiran Mohamad serta Timbalan Presiden AMANAH Salahudin Ayub. Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengadakan program yang sama di Pagoh pada hari berikutnya.

Pada hari Ahad 16 Julai, PKR Johor pula mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di Ledang dan Pasir Gudang dengan penyertaan timbalan presidennya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Merobek Sembrong

Untuk makluman, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua turut menyempurnakan program jelajahnya di serata Johor pada hujung minggu yang sama bagi menyampaikan maklumat berhubung skandal 1MDB kepada rakyat.

Dalam ucapan saya di Kota Tinggi, secara ironi saya nyatakan bahawa Tun Mahathir dan pimpinan HARAPAN sedang ‘menyerang’ kubu kuat Umno iaitu Kota Tinggi tatkala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sibuk turun Johor ke kawasan Parlimen Sembrong dalam rangka mempertahankan apa yang dianggap selama ini sebagai ‘kerusi selamat’ BN itu.

Untuk rekod, Umno memperoleh undi di Kota Tinggi dan Sembrong masing-masing 82.4 peratus dan 63.7 peratus pada pilihan raya umum lalu.

Komposisi pengundi mengikut kaum bagi Kota Tinggi ialah 86 peratus Melayu, 11 peratus Cina dan 2 peratus India manakala Sembrong 58 peratus Melayu, 31 peratus Cina dan 9 peratus India.

Saya agak terkejut apabila mendapat berita menerusi media sejurus selepas program Najib di Sembrong malam itu yang melaporkan ‘ucapan berapi-api’ beliau untuk memastikan Sembrong kekal menjadi milik BN pada PRU akan datang.

Dalam ucapan, beliau berkata: "Kami datang, pastikan bumi Sembrong ini kekal kukuh dalam tangan BN.”

Bagi saya, ada sesuatu yang tak kena sehingga perdana menteri sendiri terpaksa membuat penekanan sebegini di parlimen Sembrong.

Mungkin Umno khususnya menteri pertahanan merangkap antara ‘senarai calon menunggu’ perdana menteri pilihan Najib ini ada menerima maklumat bahawa kerusi-kerusi di Johor tidak lagi terjamin untuk kemenangan BN pada PRU ke-14 nanti, termasuklah Sembrong!

Malam yang sama, Najib turut mengumumkan tiga projek untuk Sembrong - pembinaan 500 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) menerusi dua fasa, 500 buah rumah untuk generasi kedua Felda di Felda Kahang yang akan dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan penaiktarafan pondok polis Taman Sri Lambak kepada balai polis.

Menurut Malaysiakini, Najib menyebut:

"Hari ini saya datang patut free-lah tak payahlah bayar apa-apa. Tapi nampaknya Datuk Hisham siang-siang dah hantar bil. Dan dengan dia punya pantun sekali nak corner saya, dia kata alang-alang Datuk Seri nak datang, kami di Sembrong minta bantuan.

"Jadi tiga projek kita dah bayar bil perjumpaan malam ini kepada orang Sembrong. Saya dah tunaikan hajat tuan-tuan. Tuan-tuan kena tunaikan hajat saya, boleh?"


Najib 'bayar bil' di kawasan Hisham



'Saya bantu kamu, kamu bantu saya'
 

Dalam hal ini, dana awam tidak sewajarnya digunakan untuk tujuan kempen kepartian. Pun begitu, Najib nampaknya gagal memahami perubahan landskap pemikiran politik rakyat hari ini khususnya Melayu.

Malang kerana beliau masih menganggap politik ‘saya bantu kamu, kamu bantu saya’ dengan menjanjikan projek-projek ‘bulan dan bintang’ kepada rakyat akan dapat membeli undi mereka.

Hakikatnya, rakyat mahukan kerajaan yang bersih, peluang pekerjaan dengan tawaran gaji yang lebih baik serta kos sara hidup yang tidak membebankan.

Malah, jika Hishammuddin sebagai orang nombor tiga dalam kabinet pun terpaksa merayu untuk mendapatkan projek bagi kawasannya beberapa bulan sebelum parlimen dibubarkan, ini menunjukkan kerajaan BN telah lumpuh.

Kerusi Sembrong diwujudkan selepas persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya pada tahun 1993.

Ia dilihat sebagai satu kerusi ‘rekaan khas’ untuk Hishamuddin yang telah memenangi kerusi tersebut sejak pilihan raya 1995. Jika Sembrong sudah ‘bergoyang’, mengapa tidak yang lain?

Saya tegaskan pandangan saya di Kota Tinggi, untuk merealisasikan peralihan kerajaan persekutuan dalam PRU ke-14, Pakatan Harapan mestilah memastikan kemenangan 10 kerusi parlimen masing-masing di Johor, Kedah dan Sabah.

Jujurnya, Sembrong dan Kota Tinggi tidak ada dalam fikiran saya sebagai kerusi potensi menang Pakatan Harapan.

Namun, respon positif dan perkembangan politik Johor yang telah berlaku pada hujung minggu ini telah menambah keyakinan sedia ada saya bahawa Johor merupakan medan pertarungan paling sengit menjelang PRU ke-14.


Liew Chin Tong pengerusi DAP Johor merangkap anggota parlimen Kluang.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda