Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Cenderahati besar Najib bukan MRT, tapi 1MDB'
Diterbitkan:  Jul 17, 2017 11:00 PM
Dikemaskini: 3:03 PM

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil tampil membalas kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang mengatakan Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) adalah cenderahati Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada negara.

Sebaliknya kata beliau, cenderahati paling 'besar' Najib kepada negara bukannya MRT, tetapi 1MDB.

"Seperti yang pernah ditulis media antarabangsa sebelum ini, 1MDB yang ditubuh selepas Najib dinobat sebagai perdana menteri pada 2009 telah menjadi antara skandal kewangan paling besar di dunia.

"Di pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura siasatan telah dijalankan berkait kegiatan pengubahan wang haram," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Najib merasmikan aliran MRT Sungai Buloh-Kajang sepanjang 51 kilometer yang menelan kos RM21 bilion dengan jangkaan bermanfaat kepada 400,000 penumpang setiap hari.

"Ini adalah cenderahati perdana menteri untuk negara. Dengan kejayaan ini, marilah kita sama-sama meraikan satu lagi simbol kejayaan pembangunan infrastruktur pengangkutan awam negara," katanya menerusi laman blog sskeruak.blogspot.my.

Sementara itu, Fahmi menyifatkan cenderahati 1MDB Najib ini juga dihadiahkan kepada seluruh dunia perbankan, apabila institusi-institusi kewangan dari yang kecil hinggalah yang mega terkesan akibat keterlibatan mereka di dalam penyelewengan wang dari 1MDB.

"Tetapi cenderahati ini tidak mungkin dijaja dijulang Salleh, dan tidak mungkin diraikan kewujudannya dengan pesta 70,000 cucuk sate.

"Cenderahati 1MDB Najib ini menjadi iktibar kepada dunia perbankan, dan menjadi laungan keramat melawan budaya “Cash is King” dan perompak harta rakyat," katanya.

Tambah Fahmi, 'anak panah arjuna' sudah di busur politik dan kini hanya menanti pilihan raya umum ke-14 untuk dilepaskan bagi menewaskan rejim kleptokrat dan menyelamatkan Malaysia.

Lihat Komen
ADS