Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Syarikat-syarikat yang merancang untuk menerajui projek pembangunan Bandar Malaysia boleh mengemukakan bidaan mereka sehingga Khamis ini.

Ketika ditanya bilakah keputusan bidaan akan diumumkan, Setiausaha Agung Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, permohonan masih diterima pada masa ini.

"Tarikh tutup adalah pada 20 haribulan ini. Kemudian kami akan kumpul (permohonan) dan kami akan menilai," katanya kepada pemberita di Cyberjaya hari ini.

Ditanya sama ada mana-mana syarikat telah disenarai pendek, pengerusi Bandar Malaysia Sdn Bhd berkata: "Tidak, belum lagi kita masih menilai."

Sebelum ini, Irwan berkata Putrajaya sedang mencari syarikat terkemuka dalam senarai Fortune 500 untuk menerajui pembangunan projek Bandar Malaysia.

Pada bulan Mei, kerajaan menamatkan rancangannya menjual 60 peratus kepentingan dalam Bandar Malaysia kepada IWH-CREC Sdn Bhd, sebuah konsortium yang terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings dan China Railway Engineering Corporation (CREC).

Kerajaan mendakwa konsortium itu gagal memenuhi bayaran dalam masa ditetapkan, tetapi dinafikan IWH-CREC.

Sejak itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melobi Kumpulan Dalian Wanda dari China, pemaju swasta terbesar di negara itu untuk mengambil alih projek Bandar Malaysia.

Namun, perjanjian tersebut tidak ditandatangani. Beijing dilaporkan menegaskan bahawa CREC, sebuah syarikat milik negara itu, harus dikekalkan dalam projek Bandar Malaysia.

Lihat Komen
ADS