Paling Popular
Terkini

Orang ramai khususnya warga kota hari ini mengambil kesempatan untuk mencuba perkhidmatan Mass Rapid Transit (MRT) laluan Sungai Buloh-Kajang sejak fasa kedua mula beroperasi sepenuhnya semalam.

Tinjauan di beberapa stesen MRT fasa kedua mendapati selain warga kota yang memanfaatkan perkhidmatan MRT untuk ke pejabat dan pelajar ke sekolah, ada dalam kalangan mereka turut membawa anggota keluarga keluar ke ibu kota dengan menaiki kemudahan berkenaan.

Pesara kerajaan Nor Kamarudin Aziz, 61, mengambil kesempatan untuk menaiki MRT dari Stesen Sungai Buloh ke Stesen Cochrane untuk membeli-belah bersama isterinya di gedung barangan rumah dan perabot terkemuka.

"Kebanyakan stesen MRT Fasa dua terletak bersebelahan dengan pusat beli-belah, jadi kami tidak perlu lagi memandu kereta dan meredah kesesakan lalu-lintas di pusat bandar.

"Lagipun warga emas seperti saya dapat diskaun sebanyak 75 peratus sehingga 31 Ogos, jadi tambangnya sangat berpatutan dan menjimatkan masa perjalanan juga," katanya.

Kerani Haliza Khalid, 42, berharap kemudahan di beberapa stesen MRT bawah tanah dapat ditambah baik, terutamanya laluan pejalan kaki dan papan tanda.

"Contohnya di Stesen Cochrane, laluan pejalan kaki dari stesen ke pusat beli-belah masih belum dibuka dan pengguna terpaksa melintas jalan untuk menuju ke pusat beli-belah.

"Sekiranya ada papan tanda yang menunjukkan arah yang jelas, ia lebih memudahkan kami terutamanya bagi warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU)," katanya.

Suri rumah Shirley Phang, 51, kagum dengan reka bentuk stesen bawah tanah yang mempunyai tema yang unik dan menarik.

"Contohnya di Stesen Merdeka, bentuk kerusinya yang unik serta reka bentuk dinding 'Rukunegara' juga dapat mendidik generasi muda untuk lebih menghargai kemerdekaan negara.

"Selain itu, keluasan tren dan stesen MRT yang bersih dan selesa turut dapat menarik lebih ramai pelancong asing untuk kerap menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam untuk ke destinasi pelancongan seperti Muzim Negara dan Dataran Merdeka," kata Phang yang menaiki MRT dari stesen Merdeka ke Pasar Seni.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata berdasarkan maklum balas daripada pengguna MRT mendapati kebanyakan daripada mereka mahu kekerapan tren ditambah, selain kemudahan Wifi disediakan di dalam tren.

"Kebanyakan daripada warga kota yang menggunakan MRT merupakan golongan bekerja dan kesuntukan masa, jadi kami akan berusaha menambah kekerapan tren dari semasa ke semasa untuk memastikan perjalanan mereka lebih lancar dan cepat," katanya.

Operasi fasa kedua MRT laluan Semantan-Kajang melengkapkan jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK) sepanjang 51 kilometer (km).

Jajaran keseluruhan 51km itu merentasi 31 stesen, termasuk tujuh stesen bawah tanah, Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang berintegrasi dengan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), Monorail dan KTM Komuter.

Fasa pertama membabitkan laluan Sungai Buloh-Semantan sepanjang 21km, mula beroperasi pada 16 Dis tahun lalu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS