Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Salleh: Hasrat HARAPAN bertapak di Felda hanya angan-angan
Diterbitkan:  Jul 19, 2017 10:21 AM
Dikemaskini: 3:33 AM

Hasrat Pakatan Harapan untuk bertapak di Felda adalah angan-angan semata, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Angan-angan itu tidak akan menjadi kenyataan kerana para pengundi Felda mempunyai kepercayaan yang besar terhadap parti Umno-BN untuk menjaga kebajikan mereka, katanya.

"Dengan sokongan pengundi Felda kepada pemerintah, adalah satu tugas sukar untuk Pakatan Harapan memenangi kerusi Felda dalam PRU ke-14," katanya.

Salleh berkata, ini kerana jasa parti pemerintah yang ditunjangi oleh Umno yang memberi bantuan kewangan dan subsidi, bonus tahunan, menjaga kebajikan mereka, dan pelbagai bantuan lain.

"Jasa ini memberi keyakinan kepada mereka bahawa parti pemerintah adalah parti terbaik untuk mengurus negara.

"Dengan keyakinan pengundi Felda kepada pemerintah, maka hasrat Pakatan Harapan untuk bertapak di Felda adalah angan-angan semata," kata Salleh dalam blognya hari ini .

Menurutnya, warga Felda menyedari bahawa memberi sokongan kepada Pakatan Harapan boleh menjejaskan masa depan mereka.

Salleh berkata, Felda sangat disayangi orang Melayu kerana kejayaannya memajukan orang Melayu dan mengubah taraf hidup golongan Melayu miskin di luar bandar.

"Justeru sayangnya Melayu pada Felda, maka Felda selalu disinonimkan dengan deposit tetap parti pemerintah. Ini dapat dilihat dari keputusan PRU 2013.

Dalam pilihan raya tersebut, menurut Salleh, peratusan pengundi Felda yang mengundi Umno/BN cukup signifikan: peratusan tertinggi ialah Sabah (92%), Johor (86%), Perlis (78%), Negeri Sembilan (77%), Perak (75%), Melaka (74%), Kedah (74%), Selangor (73%), Terengganu (67%), Pahang (67%), dan Kelantan (61%).

Bagaimanapun, kebelakangan ini, Felda telah dilanda isu seperti perebutan kepimpinan dalam Felda Global Ventures bulan lepas antara pengerusinya ketika itu, Tan Sri Isa Samad dengan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menyerbu pejabat Felda pada hari Selasa, dan merampas tiga kotak yang dipercayai mengandungi dokumen berkaitan hotel mewah yang dibeli di London oleh Felda Investment Corporation
(FIC).

Pakatan Harapan telah berusaha menarik sokongan pengundi di Felda kepada part komponen terbarunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang telah meletakkan dirinya sebagai saluran bagi sokongan orang Melayu kepada pembangkang.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga bekas timbalan presiden Umno, berkata partinya berhasrat untuk memberi tumpuan kepada tanah rancangan Felda menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS