Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita seksi Arab Saudi akhirnya kena tangkap
Diterbitkan:  Jul 19, 2017 11:55 AM
Dikemaskini: 3:59 AM

GLOBAL l Polis di Arab Saudi, semalam menahan seorang wanita yang menyiarkan video dirinya memakai miniskirt dan baju singkat di khalayak umum.

Wanita itu, seorang model yang dikenali sebagai Khulood didakwa mendedahkan kaki serta pusat yang dikatakan jelas bertentangan dengan larangan berpakaian ketat atau seksi di negara Islam berkenaan.

Akhbar New York Times memetik stesen televisyen milik kerajaan Alekhbariya yang melaporkan di Twitter bahawa selepas ditangkap, polis di Riyadh, menyerahkan Khulood ke pejabat pendakwa raya.

Mereka turut menggunakan hashtag bahasa Arab yang diterjemahkan sebagai "Kami menuntut perbicaraan ke atas model Khulood."

Rakaman video berkenaan mencetuskan perdebatan hangat di media sosial, dengan ada yang menuntut wanita muda itu ditangkap kerana melanggar undang-undang Islam.

Namun, tidak kurang juga yang tampil mempertahankan wanita itu sambil memuji keberaniannya.

Wanita Arab Saudi diwajibkan memakai jubah labuh yang dikenali sebagai abaya di khalayak umum, serta menutup kepala. Mereka juga dilarang memandu dan diasingkan daripada lelaki yang bukan mahram.

Dalam video yang pada awalnya dikongsi di Snapchat pada hujung minggu lalu, Khulood dilihat berjalan di sebatang jalan yang kosong di sebuah kubu di Perkampungan Warisan Ushayqir, yang terletak kira-kira 155km di utara Riyadh, di wilayah Najd.

Najd adalah antara kawasan yang paling konservatif di Arab Saudi. Di sinilah pengasas Wahabi - sejenis bentuk Islam Sunni sederhana yang diamalkan oleh keluarga diraja Saudi - dilahirkan pada akhir abad ke-18.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS