Undian: Pengguna Twitter M'sia hilang minat isu 1MDB
Pengguna Twitter di Malaysia didapati kurang berminat dalam isu 1MDB, kata undian yang dijalankan oleh Politweet.
Ini di sebalik pengumuman siasatan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat ke atas skandal berkenaan dan usaha pembangkang untuk terus melanjutkan itu berkenaan.
Undian itu juga mendapati penurunan minat ini amat ketara di negeri-negeri di luar Kuala Lumpur dan Selangor.
Keputusan menunjukkan bahawa minat tahunan dalam isu 1MDB menurun secara drastik daripada 85,118 pengguna pada 2015 kepada hanya 19,459 pengguna pada 2017.
Semasa pengumuman saman sivil DOJ pertama pada 21 Julai 2015, sebanyak 15,200 pengguna di Malaysia menulis tweet mengenai 1MDB, namun, jumlah itu menurun kepada kurang daripada separuh iaitu hanya 7,519 pengguna semasa pengumuman kedua DOJ.
"Ini adalah kejatuhan sebanyak 51 peratus," kata Politweet dalam satu catatan di Facebook hari ini.
Sementara itu, respon terhadap kematian remaja T Nhaveen akibat dibuli menarik lebih banyak minat daripada pengguna Twitter di Malaysia, berbanding 1MDB dalam tempoh sama iaitu dari 13 hingga 21 Jun tahun ini.
Menurut undian itu, sebanyak 12,680 pengguna menulis tweet mengenai pembulian dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia dan sejumlah 9,233 pengguna menulis tweet tentang Nhaveen pada 16 Jun.
Sebagai perbandingan, 7,519 pengguna tweet menulis mengenai 1MDB pada 17 Jun.
DOJ mengumumkan saman sivil ketiga dan terbaru berkaitan dengan 1MDB pada 15 Jun, di mana ia menyatakan bahawa jumlah yang diselewengkan daripada 1MDB adalah sebenarnya AS$4.5 bilion.
Ia sedang berusaha untuk merampas aset berjumlah AS$1.7 bilion yang dikatakan diperoleh menggunakan dana yang dicuri daripada 1MDB.
Antara senarai barangan yang mahu dirampas termasuk kapal layar, barangan kemas, berlian, rantaian pusat kecergasan, dan karya seni.



