Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Dasar Keselamatan Negara disemak sekali dalam 3 tahun

Kerajaan memutuskan agar Dasar Keselamatan Negara yang digubal dan diluluskan pada 11 Jan lalu selaras dengan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 disemak sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh tiga tahun, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Menurutnya, beliau dimaklumkan pelaksanaan dasar itu akan dipantau melalui pembentukan Jawatankuasa Penyelarasan peringkat Kementerian/Jabatan/Agensi yang akan dipengerusikan Ketua Pengarah Keselamatan Negara.

Najib yang juga Menteri Kewangan mahu semua agensi di peringkat Persekutuan dan negeri merujuk kepada Dasar Keselamatan Negara dalam penggubalan dasar baharu serta menyemak dan meneliti dasar sedia ada khususnya berkaitan dengan keselamatan negara.

"Langkah ini adalah bagi memastikan dasar-dasar tersebut konsisten dengan Dasar Keselamatan Negara dan sekiranya dasar tersebut tidak konsisten, maka penambahbaikan dan pengubahsuaian hendaklah dilaksanakan sewajarnya," katanya ketika melancarkan Buku Dasar Keselamatan Negara di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan menteri-menteri kabinet, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Najib menerangkan bahawa Dasar Keselamatan Negara itu akan menjadi dasar payung atau dasar yang menyeluruh dan rujukan kepada dasar sedia ada yang berkaitan dengan keselamatan negara seperti Dasar Keselamatan Dalam Negeri, Dasar Pertahanan Negara dan dasar lain yang menjurus kepada keharmonian hidup rakyat serta negara ini.

Tambahnya, Dasar Keselamatan Negara itu diperkenalkan sebagai dokumen rujukan utama kepada semua agensi Persekutuan dan negeri dalam menggubal dasar-dasar sedia ada bagi memastikan negara berupaya mencegah dan menangani pelbagai ancaman keselamatan yang semakin dinamik dan kompleks.

"Keselamatan negara Malaysia pada asasnya merujuk kepada suatu situasi bebas daripada ancaman terhadap nilai-nilai teras negara, sama ada ia berbentuk ancaman dari dalam mahupun luar negara. Ancaman keselamatan global yang kini turut dihadapi oleh negara dikatakan bersifat tidak simetri, yakni bersifat tidak seimbang dan turut melibatkan individu atau organisasi yang mempunyai pengaruh politik yang signifikan tetapi tidak bersekutu dengan mana-mana negara atau negeri tertentu.

"Saya difahamkan juga Majlis Keselamatan Negara berjaya menyelesaikan pelbagai isu keselamatan dalaman dan luaran antaranya ketegangan diplomatik dengan Korea Utara baru-baru ini yang dapat diselesaikan dengan baik," katanya.

Perdana Menteri berkata Dasar Keselamatan Negara yang menetapkan sembilan Nilai Teras Negara perlu dipertahankan melalui pelaksanaan 20 strategi utama bagi menjadikan Malaysia bebas daripada segala bentuk ancaman sama ada bersifat fizikal mahupun bukan fizikal yang berpotensi mempengaruhi serta merosakkan pemikiran rakyat.

Sembilan teras itu ialah Kedaulatan dan Keutuhan Wilayah; Kestabilan Sosio-Politik; Kesepaduan Nasional; Tadbir Urus yang Baik; Keutuhan Ekonomi; Keadilan Sosial; Pembangunan Mampan; Keselamatan Rakyat; dan Pengiktirafan Antarabangsa.

Mengimbau kembali, Najib berkata negara ini pernah menghadapi pelbagai cabaran seperti ancaman komunis, peristiwa berdarah 13 Mei 1969, serangan kumpulan militan Al-Mau'nah sehinggalah kepada tragedi pencerobohan pengganas di Lahad Datu Sabah pada 2013, dan kini berdepan dengan ancaman keganasan dan angkara kumpulan ekstremis Daesh yang perlu ditangani bersama oleh kerajaan dan rakyat.

"Alhamdulillah, setakat ini atas usaha gigih kerajaan dan pasukan keselamatan negara, kita telah berjaya mengekalkan keamanan serta keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat seluruhnya. Sehinggakan dalam sudut keselamatan dunia siber, Malaysia telah diiktiraf dan diletakkan pada tangga ketiga daripada 193 buah negara di dunia dalam Global Cybersecurity Index 2017," katanya.

Berdasarkan Indeks Keamanan Global 2017, Najib memaklumkan Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai negara ketiga paling aman di rantau Asia dan ke-29 daripada 163 buah negara di dunia.

Justeru, Perdana Menteri berharap melalui Dasar Keselamatan Negara, rakyat akan lebih memahami, menilai dan menghayati malahan bersedia untuk berjuang habis-habisan dalam mempertahankan nilai-nilai teras negara dalam apa jua keadaan.

"Saya menyarankan kepada semua rakyat Malaysia supaya memberikan sokongan, berganding bahu dan bekerjasama demi menjamin survival Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat lagi merdeka berlandaskan prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan," katanya

Najib berkata Dasar Keselamatan Negara itu digubal bukan sahaja untuk keselamatan pertiwi pada masa kini, bahkan yang lebih utama demi memastikan keamanan dan kesentosaan Negaraku akan terus berkekalan sekali gus dapat diwarisi oleh generasi masa depan Transformasi Nasional 50 (TN50) sampai bila-bila.

-Bernama

Lihat Komen
ADS