Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ishak dan jenaka 'telur PM' dalam kenangan
Diterbitkan:  Jul 19, 2017 8:47 PM
Dikemaskini: 1:23 PM

BELASUNGKAWA Tanggal 18 Julai 2017 merupakan tarikh yang muram bagi Umno apabila parti itu kehilangan seorang tokoh politik yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Ishak Ismail.

Ketika hayatnya, Ishak dikenali sebagai seorang pemimpin Umno yang pandai berpidato dengan lawak jenaka mencuit hati.

Malah, ucapannya dalam persidangan DUN juga sering membuatkan suasana tegang menjadi gamat dengan gelak ketawa.

Dari luaran, perwatakan Ishak Ismail dilihat serius, namun tidak siapa menyangka beliau sebenarnya memiliki bakat semula jadi hingga mampu membuatkan sesiapa yang mendengar celotehnya tidak kering gusi.

Salah satu jenaka Ishak yang terus melekat di ingatan adalah semasa Perhimpunan Agung Umno pada 2009.

Ketika itu, Allahyarham menceritakan pengalamannya bersama Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dalam satu kursus anjuran parti itu.

Kata Ishak, suatu malam ketika program itu berlangsung, beliau terdengar satu letupan kuat sehingga mengejutkan mereka.

Ishak menceritakan Najib yang ketika itu ketua pemuda Umno bertanya kepadanya: "Hak (Ishak), apa kita nak buat".

"Saya kata, raba telur you", kata Ishak.

"Saya tanya, ada Datuk? Dia jawab, ada Hak," kata Ishak disambut derai ketawa perwakilan.

Melihat Najib yang tersipu-sipu malu, Ishak berkata beliau berbuat demikian kerana tahu Najib bakal menjadi perdana menteri.

"Apa guna jadi perdana menteri kalau telur tidak ada," katanya menggamatkan dewan.

Dalam ucapannya ketika itu, Ishak turut  memberikan "petua" kepada perwakilan Umno mengenai cara-cara hendak mengenal pasti seseorang suami yang takutkan isteri.

Secara berseloroh, Ishak berkata, lelaki yang bertepuk tangan dengan tangan kiri di atas, menunjukkan seorang yang takutkan bini.

Ucapan Ishak mengusik Najib itu turut dirakam dalam cakera padat video (VCD) dan dijual seperti pisang goreng panas dengan mencatat jualan 1,000 unit.

Kena kencing orang putih 

Pada perhimpunan agung Umno itu Ishak juga turut berkongsi ceritanya pernah terkencing dalam stadium di London ketika sedang menuntut di sana sekitar tahun 1970-an.

Ketika menceritakan peristiwa itu, Ishak turut menggayakan cara dia membuang air kecil sekali gus menggundang suasana gamat.

Aksi Ishak berucap itu juga menyebabkan barisan pucuk pimpinan Umno di atas pentas, termasuk Najib dan timbalannya ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak kering gusi.

Kata Ishak, beliau berbuat demikian kerana tidak tahan untuk membuang air kecil, ketika sedang menyaksikan perlawanan bola sepak antara Liverpool dengan Leeds United.

Dewan gamat apabila Ishak mendakwa air kencingnya terkena penonton kulit putih di bawah.

"Orang Melayu kencing orang putih... lepas itu saya rasa punggung saya basah. Rupa-rupanya, orang di atas kencing dekat saya," katanya, sekali menggamatkan dewan.

Ishak Ismail, 66 menghembuskan nafas terakhirnya sekitar jam 11.25 Selasa malam akibat serangan jantung di Hospital Tengku Ampuan Najihah di Kuala Pilah.

Beliau dilaporkan pengsan ketika menghadiri rumah terbuka Aidilfitri ADUN Seri Menanti, Datuk Abdul Samad Ibrahim di Seri Menanti sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah untuk rawatan lanjut.

Berasal dari Kampong Pantai, Seremban Ishak meninggalkan isteri Datin Norimah Ujang dan empat orang anak.

Allahyarham merupakan ADUN Lenggeng selama empat penggal sejak pilihan raya umum 1995. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat.

 

Lihat Komen
ADS