Polis, k'jaan rayu terhadap gantirugi kepada keluarga Chandran
Polis dan kerajaan merayu terhadap gantirugi teladan yang diperintahkan dibayar kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia semasa dalam tahanan, P Chandran.
Peguam M Visvanathan yang mewakili keluarga Chandran, memberitahu Malaysiakini bahawa pihak yang merayu - lima anggota polis, ketua polis negara dan kerajaan - dalam satu notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan - mempersoalkan jumlah ganti rugi teladan yang diberikan.
Semalam, Mahkamah Persekutuan menetapkan 12 September untuk mendengar permohonan dari pihak perayu, yang diperintahkan membayar RM375,000 kepada keluarga berkenaan. Tarikh itu ditetapkan semasa pengurusan kes itu di hadapan pendaftar Jumirah Marjuki.
Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dan Mahkamah Rayuan sebelum ini telah memutuskan ganti rugi teladan sebanyak RM200,000 dibayar kepada keluarga Chandran.
Menurut Visvanathan (gambar), Pejabat Peguam Negara, yang mewakili perayu, mengatakan bahawa bayaran gantirugi itu salah pada prinsipnya - bahawa keluarga itu tidak berhak menerimanya kerana gantirugi teladan diberikan kepada mereka yang masih hidup.
Isu itu tidak diperkatakan di Mahkamah Rayuan, apabila hakim, yang diketuai oleh Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, berkata isu itu adalah mengenai jumlah yang diberikan untuk ganti rugi teladan seperti yang dinyatakan dalam notis rayuan mereka, dan bukannya mengenai ganti rugi teladan tersebut.
Visvanathan berkata pihak perayu meneruskan rayuan mengenai isu gantitugi teladan itu manakala dalam notis rayuan di Mahkamah Rayuan, hanya isu jumlah ganti rugi yang dibangkitkan.

