Mahkamah Tinggi Seremban hari ini menolak permohonan polis untuk melanjutkan tempoh tahanan reman ke atas 28 peneroka dari Kampung Gatco, Bahau selama tiga hari lagi.

Menurut peguam kumpulan itu, M Siveram, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Siti Mariam Othman memberitahu kedua-dua pihak di kamarnya bahawa beliau prihatin dengan tahap kesihatan tahanan, yang kebanyakan mereka adalah warga emas.

"Dia juga menyebut bahawa alasan bagi permohonan reman oleh polis tidak memadai," kata Siveram kepada Malaysiakini.

Kumpulan itu ditahan pada Selasa lalu selepas didakwa menghalang beberapa lori yang daripada meninggalkan kawasan itu.

Mereka mendakwa pengalihan kayu balak adalah salah kerana terdapat tuntutan mahkamah yang belum selesai terhadap pemilik tanah baru Kampung Gatco.

Bagaimanapun, polis menahan kumpulan itu dan membuat siasatan mengikut Seksyen 339 Kanun Keseksaan. Sekiranya disabitkan kesalahan, kumpulan itu boleh didenda sehingga RM1,000, dipenjara sehingga sebulan, atau kedua-duanya.

Rebutan Kampung Gatco bermula pada tahun 2006 selepas ia dijual oleh Thamarai Holdings Sdn Bhd.

Tanah itu pada asalnya dimiliki oleh Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) yang menyewakan tanah kepada pekerja kebun, yang sebahagian besar adalah anggota kesatuan.